JOHOR BAHRU: Angin perubahan kaum Cina dijangka berlaku pada Pilihan Raya Negeri (PRN) Johor berdasarkan kecenderungan mereka menyokong Parti Warisan Sabah (Warisan).
Bercakap kepada Utusan Malaysia, Pengerusi Warisan Johor, Suhaimi Salleh berkata, pihaknya menyaksikan sentimen luar biasa masyarakat Tionghua sepanjang kempen yang menolak DAP dan Gerakan setelah melihat komitmen Warisan mahu memperjuang semua bangsa serta mengangkat integriti.
Beliau yakin Warisan bakal memberi kejutan pada 12 Mac ini dengan memenangi semua atau sebahagian enam kerusi ditandingi parti itu.
“Alhamdulillah, kita nampak kesungguhan pengundi khususnya kaum Cina yang mahu mengundi Warisan minggu depan. Apatah lagi membabitkan kawasan majoriti kaum Cina seperti Pekan Nenas dan Johor Jaya.
“Malah bukan sahaja ahli DAP dan Gerakan, terdapat juga akar umbi Parti Pribumi Bersatu Malaysia (Bersatu) menyatakan hasrat menyokong Warisan kerana kecewa terhadap parti itu,” katanya ditemui di sini.
Warisan bertanding enam kerusi PRN Johor iaitu Pekan Nanas, Bekok, Mahkota, Johor Jaya, Bukit Batu dan Permas serta mempertaruh calon-calon anak tempatan, profesional serta pemimpin pertubuhan bukan kerajaan (NGO).
Dalam pada itu, Suhaimi mengakui tidak dapat membentuk kerajaan kerana Warisan hanya bertanding enam kerusi.
“Warisan hanya mahu menjadi pembangkang kuat dalam DUN Johor sekiranya menang salah satu atau semua enam kerusi ditandingi,” katanya.
Kata beliau: ”Walaupun ada pihak cakap Warisan ini parti Sabah namun Sabah juga salah satu negeri dalam Malaysia. Jadi apa bezanya Sabah dengan negeri lain termasuk Johor kerana kita masih rakyat Malaysia.” – UTUSAN











