MUKADIMAH
PERATUSAN keluar mengundi Pilihan Raya Negeri (PRN) Melaka 20 November tahun lalu, masih menghantui DAP di Johor.
Setiausaha Agungnya, LIM GUAN ENG ketika dihubungi wartawan Utusan Malaysia, AHMAD FADHLULLAH ADNAN tampak nadanya cukup yakin peratusan keluar mengundi tinggi membolehkan Pakatan Harapan (PH) mengetuai kerajaan negeri yang baharu pada 12 Mac ini.
DAP gagal kekalkan lapan kerusi di PRN Melaka. Cuma menang empat. Di Johor YB, peluang untuk menang 14 kerusi ditandingi?
PRN Johor kali ini nampaknya positif. Hanya dibimbangi peratusan keluar undi. Itu masalah utama. Kalau peratusan undi tinggi, kita ada peluang. Kalau peratusan macam PRN Melaka susah sikit. DAP harap Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) mainkan peranan. Jangan berat sebelah. Saya sudah timbulkan masalah undi pos. Kita harap SPR boleh buat penerangan dan akui mereka silap. Ini kerana ada undi pos yang dihantar silap kawasan. Kalau kawasan sama tak apa, tetapi kawasan lain itu yang susah.
Beberapa DUN seperti DUN Johor Jaya menyaksikan semua calon bertanding Cina. Adakah itu pemecah undi kalangan orang Cina?
Pengundi kena tengok isu yang kita tekankan dari parti lawan (yang mainkan) kestabilan politik tetapi nak rebut kuasa. Kita mahukan kestabilan kos sara hidup dan selesaikan masalah rakyat.
Harga barang naik tidak selesai. Ta bagi keluarkan caruman Kumpulan Wang Simpan Pekerja (KWSP), kompaun Covid-19 naik, peluang pekerjaan dan gaji rendah. Semua ini kena ada cadangan macam mana nak selesaikannya.
Ada mengatakan berlaku gelombang perubahan pengundi Cina pada PRN kali ini, benarkah?
Di Melaka masalah kerana tidak keluar mengundi. Jadi, kena lihat kelemahan kenapa tidak keluar undi. Bagi yang keluar, undi sokongan masih sama kepada kita. Saya tahu sebab Covid-19, jadi kita kena fikirkan macam mana nak beri motivasi. Ini cabaran kita.
Jika masih keputusan sama seperti PRN lepas, ada strategi lain untuk mengharungi PRU-15?
Saya tak mahu cakap lebih dari itu. Tunggu keputusan 12 Mac ini.
DAP dan Amanah guna logo PH dan PKR lambang sendiri. Ada keretakankah?
Keretakan dalam itu tidak berlaku kerana jika berlaku keretakan, sudah tentu kita bertembung antara satu sama lain. Tetapi PRN kali ini kita tak bertembung pun. DAP nak gunakan lambang PH, tetapi PKR mahu logonya. Bersungguh-sungguh pujuk pun tak jadi juga. Tapi kena ingat yang kita tak bertembung antara satu sama lain. Masih bersama di bawah pakatan. Hanya logo sahaja lain. – UTUSAN











