Tiga kanak-kanak dijaga JKM atas permintaan ibu mereka

Tiga kanak-kanak dijaga JKM atas permintaan ibu mereka

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

PUTRAJAYA: Tiga kanak-kanak yang merupakan anak Loh Siew Hong ditempatkan di institusi kebajikan Jabatan Kebajikan Masyarakat (JKM) atas permohonan pengadu sendiri dan setelah mendapat perintah mahkamah.

Kementerian Pembangunan Wanita, Keluarga dan Masyarakat dalam satu kenyataan memaklumkan, kanak-kanak itu kini di bawah jagaan JKM Perlis telah dilawati Siew Hong tengah hari tadi. 

Katanya, penempatan itu dibuat bagi mengutamakan kepentingan untuk perlindungan dan kebajikan kanak-kanak tersebut. 

“Malah kenyataan bahawa kanak-kanak terlibat dipindahkan ke institusi di bawah JKM yang lain adalah tidak berasas dan satu tuduhan semata-mata.

“Pengadu sendiri yang melawat tiga anaknya juga mematuhi semua peraturan dan prosedur operasi standard (SOP) yang berkuat kuasa malah kementerian amat menggalakkan hubungan kekeluargaan berterusan di antara kanak-kanak dengan ibu bapa atau penjaga dalam konteks pengurusan institusi kebajikan.

“Namun, aspek keselamatan, perlindungan dan kesihatan penghuni amat dititikberatkan lebih-lebih lagi ketika era pandemik Covid-19,” katanya hari ini. 

Kenyataan itu menyebut, dalam menguruskan lawatan keluarga, institusi kebajikan perlu mematuhi Peraturan-Peraturan Kanak-Kanak (Tempat Selamat) 2017 kerana institusi kebajikan diwartakan sebagai Tempat Selamat di bawah Akta Kanak-Kanak 2001. 

Katanya, semua pelawat hendaklah mendapat kebenaran bertulis daripada Pegawai Kebajikan Masyarakat (Pelindung) terlebih dahulu sebelum dibenarkan membuat lawatan.

“Malah, dalam usaha mencegah penularan pandemik Covid-19, Institusi Kebajikan JKM menyediakan SOP selaras dengan ketetapan Majlis Keselamatan Negara (MKN) dan Kementerian Kesihatan (KKM) di mana setiap pelawat perlu membuat ujian RTK-AG kendiri dan mengemukakan keputusan negatif Covid-19. Peraturan ini terpakai untuk semua institusi kebajikan di bawah JKM,” katanya. 

Terdahulu, Yayasan Dakwah Islamiah Malaysia (Yadim) kesal dengan tindakan dan kenyataan provokatif Timbalan Ketua Menteri Pulau Pinang, Dr. P. Ramasamy dan beberapa ahli politik berhubung isu anak-anak Loh Siew Hong. 

Katanya, kenyataan dibuat Ramasamy dilihat menimbulkan isu pengislaman secara unilateral, penguatkuasaan berpihak oleh pihak berkuasa dan sangkaan buruk kepada pertubuhan bukan kerajaan (NGO) Islam. 

“Kenyataan yang menggunakan istilah penculikan, manipulasi, paksaan, ancaman dan sebagainya tanpa dibuktikan secara terang-terangan dilihat tidak menghormati undang-undang. NGO Islam hanyalah menawarkan perlindungan kepada anak-anak yang menjadi mangsa perceraian ibu bapa mereka yang bukan Islam ketika itu,” katanya. 

Sebelum ini, seorang ibu berusia 34 tahun, Siew Hong, membuat laporan polis bagi meminta kepulangan tiga anaknya, yang didakwa ditahan seorang pendakwah wanita dari sebuah NGO mualaf di Tasek Gelugor, Pulau Pinang. – UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN