KUALA LUMPUR: Kerajaan perlu menyegerakan kemudahan asas kepada penduduk Kampung Melayu Bukit Tarek yang dilihat tertinggal selama 30 tahun.
Bercakap kepada Utusan Malaysia, bekas Menteri Besar Selangor, Dr. Mohamad Khir Toyo berkata, kebajikan rakyat adalah keutamaan yang harus dijaga supaya manfaat diperoleh khususnya kemudahan asas di sesebuah kawasan.
“Telah menjadi tugas kerajaan untuk menyediakan prasarana asas kepada rakyat, kerajaan Selangor mesti ambil tindakan sediakan jalan, elektrik dan air untuk rakyat Selangor.
“Dalam hal ini, kita tidak boleh tengok dari segi bisnes, hanya fikir keuntungan sahaja.
“Sebab apabila kerajaan sudah bagi tanah, bermakna kemudahan asas seperti elektrik dan air perlu disediakan,” katanya ketika dihubungi semalam.
Utusan Malaysia sebelum ini melaporkan nasib penduduk Kampung Melayu Bukit Tarek yang masih belum menikmati kemudahan asas seperti elektrik, air dan jalan raya selama hampir 30 tahun.
Walaupun kedudukannya berhampiran Lebuhraya Utara Selatan (PLUS), seramai 300 penduduknya masih melalui kehidupan menggunakan generator, bateri kereta dan panel solar untuk bekalan elektrik sementara air hujan pula untuk kegunaan harian.
Tinjauan Utusan Malaysia juga turut mendapati, pemilik lot kebanyakannya adalah bekas kakitangan kerajaan seperti anggota polis, tentera, pesara, dan pegawai kerajaan.
Susulan itu, Menteri Pembangunan Luar Bandar, Datuk Seri Mahdzir Khalid berkata, satu berita gembira akan diumumkan dalam masa terdekat.
Begitu juga Menteri Alam Sekitar dan Air, Datuk Seri Tuan Ibrahim Tuan Man yang sebelum ini turut memaklumkan, pihaknya akan mengambil perhatian bagi menyelesaikan isu berkenaan.
Susulan kenyataan Tuan Ibrahim, beberapa agensi di bawah kementeriannya telah turun padang meninjau keadaan di Bukit Tarek.
Selain itu, Menteri Besar Selangor, Datuk Seri Aminuddin Shari sebelum ini turut berkata, isu ini telah dibawa ke Majlis Tindakan Ekonomi Selangor (MTES) untuk tindakan lanjut.
Mengulas lanjut, Khir berkata, beliau kesal dengan beberapa pemimpin yang dilihat mementingkan diri tanpa meletakkan rakyat sebagai keutamaan.
“Saya sedih melihat kerajaan hanya bertindak cepat kerana bisnes, bukan sebagai wakil rakyat yang kehidupan masyarakat sepatutnya perlu diberi perhatian,” ujarnya lagi. – UTUSAN











