PETALING JAYA: Ketika sektor pembinaan negara berhadapan masalah kekurangan pekerja yang serius, rakyat tempatan pula gagal mengisi kekosongan itu. Sebaliknya mereka lebih berminat melakukan kerja ringan seperti menjadi tukang cat.
Bercakap kepada Utusan Malaysia, Presiden Persatuan Kontraktor Perumahan Malaysia (PKPM), Hasniro Hasbullah berkata, keadaan itu menyebabkan kira-kira 3,000 projek perumahan di seluruh negara berdepan masalah lewat disiapkan kerana kontraktor dan pemaju kekurangan pekerja asing yang sanggup melakukan kerja berat.
Katanya, penutupan pintu sempadan negara sejak Mac 2020 menghalang pekerja asing memasuki negara ini untuk bekerja dalam sektor pembinaan.
“Jumlah projek lewat siap itu dijangka bertambah sekiranya pintu sempadan belum dibuka dalam masa terdekat selain turut menyebabkan kontraktor berdepan kenaikan kos upah yang tinggi untuk pekerja sedia ada.
“Kekurangan pekerja asing untuk sektor pembinaan amat ketara ketika ini dan terjejas sehingga 80 peratus,” katanya ketika dihubungi semalam.
Beliau berkata, ekoran itu kontraktor termasuk di bawah PKPM terpaksa bergantung kepada pekerja asing sedia ada untuk kawasan bandar dan menggunakan pekerja tempatan bagi projek di kawasan luar bandar.
“Apabila kurang tenaga kerja untuk bahagian pembinaan, kita terpaksa guna pekerja asing sedia ada sahaja. Sebelum ini ramai yang balik ke negara asal dan tidak dapat kembali ke Malaysia kerana pintu sempadan ditutup.
“Untuk sektor pembinaan utama, kita memang gunakan tenaga kerja warga asing dari Indonesia, Bangladesh dan Myanmar kerana mereka mempunyai kemahiran yang tinggi dalam bidang berkenaan selain mutu kerja yang baik.
“Bagaimanapun, kita tidak pinggirkan pekerja tempatan yang biasanya mereka hanya ingin melakukan kerja-kerja yang tidak berat terutama ketika projek hampir siap seperti mengecat,” katanya.
Untuk rekod, Covid-19 melanda negara awal tahun 2020 dan sempadan negara mula ditutup menerusi Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) sepenuhnya pada Mac tahun sama. Ekoran itu banyak pihak yang terjejas malah ada peniaga yang terpaksa gulung tikar.
Mengulas lanjut, Hasniro berkata, kekurangan pekerja asing mengakibatkan kontraktor perlu menanggung kos upah yang tinggi kerana pekerja mulai demand atau meletak harga.
Jika dahulu, katanya, sebanyak RM20 untuk kos setiap kaki persegi, kini perlu bayar RM28 setiap kaki persegi.
“Apabila tiada pekerja mereka (pekerja sedia ada) mula minta harga yang tinggi dan kita tiada pilihan, ia sekali gus menyebabkan kenaikan kos kadar upah. Ia menjadi masalah kerana kita juga berdepan kenaikan harga barang binaan ketika ini,” jelasnya,
Dalam pada itu katanya, masalah kekurangan pekerja asing menyebabkan segelintir kontraktor terpaksa menggunakan pekerja ‘haram’ tiada permit untuk menyiapkan projek-projek perumahan.
“Sehubungan itu, jika keadaan ini (pintu sempadan ditutup) saya mencadangkan agar kerajaan melaksanakan semula program pemutihan pekerja asing agar mereka yang ada dapat memenuhi permintaan sektor industri di negara ini.
“Tindakan itu bukan sahaja dapat memulihkan keperluan kepada pekerja asing di semua sektor malah, turut memberikan keuntungan dan juga pendapatan kepada negara melalui caj yang akan dikenakan,” katanya. – UTUSAN










