PUTRAJAYA: Perdana Menteri, Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob tiba di Lapangan Terbang Antarabangsa Phnom Penh Kemboja bagi lawatan rasmi sulung ke negara itu selama dua hari.
Ketibaan beliau disambut Menteri Kanan Jabatan Perdana Menteri, Datuk Dr. Othsman Hassan, mewakili Kerajaan Kemboja.
Lawatan rasmi itu atas jemputan Perdana Menteri Kemboja, Samdech Techo Hun Sen dan sambutan rasmi lawatan akan diadakan di Peace Palace Phnom Penh pagi esok.
Kata Perdana Mengeri, pertemuan empat mata dengan Hun Sen akan tertumpu kepada pelbagai usaha untuk pengukuhan hubungan dua hala.
“(Ini termasuk) ekonomi, pembukaan sempadan kedua-dua negara dan isu-isu serantau,” katanya menerusi Facebook beliau hari ini.
Selain Kemboja, Ismail Sabri dalam rangka lawatan rasmi ke Thailand bermula hari ini hingga 26 Februari ini.
Di Kemboja, Perdana Menteri dijadual menghadap Raja Kemboja, Raja Norodom Sihamoni di samping pertemuan dengan Hun Sen untuk membincangkan kerjasama pasca pandemik Covid-19, kerjasama ASEAN serta isu serantau dan antarabangsa yang berkepentingan bersama.
Perdana Menteri dijadualkan mengadakan pertemuan dengan Presiden Senat dan Presiden Dewan Rakyat Kemboja selain turut bertemu dengan Keluarga Malaysia di Kemboja.
Semasa lawatan rasmi ke Thailand pula, Ismail Sabri mengadakan pertemuan dengan Prayut Chan-o-cha yang memberi peluang kepada kedua-dua pemimpin membincangkan hala tuju kerjasama pelbagai bidang antara dua negara terutama pembukaan sempadan antara kedua-dua negara, dan projek-projek kesalinghubungan di kawasan sempadan darat.
Lawatan Perdana Menteri ke Kemboja dan Thailand mencerminkan hubungan rapat dan menyeluruh Malaysia dengan kedua-dua negara jiran and rakan ASEAN tersebut. – UTUSAN










