Peruntukan RM15,000 bantu mangsa ribut Melaka - Utusan Malaysia

Peruntukan RM15,000 bantu mangsa ribut Melaka

TANGKAP layar laporan Utusan Malaysia bertarikh 23 Februari 2022.
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

ALOR GAJAH: Empat buah rumah yang rosak teruk dalam kejadian ribut di Kampung Belimbing Dalam dekat sini Isnin lalu, akan menerima bantuan daripada kerajaan negeri berjumlah antara RM10,000 hingga RM15,000.

Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Durian Tunggal, Zahari Abd. Kalil berkata, surat permohonan telah dihantar ke Pejabat Ketua Menteri bagi mendapatkan peruntukan tersebut.

Menurutnya, peruntukan itu dimohon bagi membolehkan kerja-kerja membaik pulih empat rumah tersebut dapat dijalankan segera.

Beliau berkata, empat rumah terlibat rosak teruk selepas bahagian atap tercabut diterbangkan ribut hingga menyebabkan empat keluarga dipindahkan ke Pusat Pemindahan Sementara (PPS) Balai Raya Kampung Belimbing Dalam.

Jelasnya, Setiausaha Khas Perhubungan Ketua Menteri, Datuk Ghafar Misdar telah melawat dan meninjau kerosakan berkenaan.

“Insya-Allah tiada halangan peruntukan daripada kerajaan negeri akan diterima dalam masa terdekat dan empat rumah yang rosak akan segera dibaik pulih.

“Dua daripada keluarga terbabit kita bantu mereka dengan menyewa rumah sementara melalui pembiayaan daripada Majlis Agama Islam Melaka (MAIM) sehingga rumah mereka siap dibaiki manakala dua keluarga lagi kini tinggal sementara dengan sanak-saudara selepas mereka tidak lagi berada di PPS yang ditutup sejak semalam,” katanya di sini hari ini.

Semalam, Utusan Malaysia melaporkan, mangsa ribut di Kampung Belimbing Dalam meluahkan rasa kecewa apabila musibah yang menimpa mereka seolah-olah dipandang sepi pihak berwajib.

Seorang mangsa, Rahmat Alus, 51, berkata, setakat ini masih belum ada mana-mana pihak termasuk kerajaan negeri tampil untuk menghulurkan bantuan bagi membaik pulih rumahnya yang rosak hampir 80 peratus akibat dibadai ribut kuat. – UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN