Mangsa ribut Melaka dakwa bantuan tak sampai - Utusan Malaysia

Mangsa ribut Melaka dakwa bantuan tak sampai

RAHMAT Alus menunjukkan struktur bumbung bahagian dapur yang patah dan rosak akibat dibadai ribut kuat di Kampung Belimbing Dalam, Alor Gajah, Melaka. - UTUSAN/MUHAMMAD SHAHIZAM TAZALI
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

ALOR GAJAH: Mangsa ribut di Kampung Belimbing Dalam di sini meluahkan rasa kecewa apabila musibah yang menimpa mereka seolah-olah dipandang sepi pihak berwajib.

Seorang mangsa, Rahmat Alus, 51, berkata, setakat ini masih belum ada mana-mana pihak termasuk kerajaan negeri tampil untuk menghulurkan bantuan bagi membaik pulih rumahnya yang rosak hampir 80 peratus akibat dibadai ribut kuat pada petang Isnin lalu.

Tambahnya, dia buntu memikirkan nasib keluarga yang tiada tempat berteduh dan terpaksa berlindung di Pusat Pemindahan Sementara (PPS) Balai Raya Kampung Belimbing Dalam, berikutan keadaan rumahnya yang tidak selamat didiami.

“Belum ada pihak yang datang melawat atau meninjau kerosakan rumah saya. Saya tidak mampu untuk membaik pulih sendiri kerana kekangan kewangan selain kesihatan yang tidak mengizinkan untuk melakukan kerja-kerja berat.

“Saya tidak bekerja dan menerima bantuan bulanan sebanyak RM230 daripada Jabatan Kebajikan Masyarakat (JKM), sementara adik pula bekerja di kedai perkakas dengan gaji RM1,200 sebulan. Kerugian pula dianggarkan mencecah ribuan ringgit selepas banyak struktur bumbung yang patah.

“Saya hanya memikirkan nasib anak-anak saudara yang masih kecil dan ibu yang sudah berusia 85 tahun. Selagi rumah tidak dibaiki, selagi itulah saya akan berada di PPS. Saya sangat mengharapkan bantuan daripada mana-mana pihak bagi meringankan beban yang ditanggung,” katanya ketika ditemui pemberita di sini hari ini.

Sementara itu, seorang lagi mangsa ribut, Che Shah Haron, 71, berkata, dia mengharapkan ada bantuan yang dihulurkan pihak berwajib secepat mungkin untuk membaik pulih bumbung rumahnya yang rosak.

Katanya, cuaca yang tidak menentu ketika ini turut menggusarkannya kerana dikhuatiri akan membawa kemusnahan harta benda yang lebih banyak.

“Saya ibu tunggal dan hidup sebatang kara. Orang lain boleh juga mengharapkan anak lelaki untuk membantu, tetapi saya terpaksa buat semua sendiri.

“Sebab itu saya sangat mengharapkan bantuan baik pulih rumah. Jika ada yang sudi membantu menggantikan atap yang tercabut pun saya sudah bersyukur, asalkan saya dapat pulang ke rumah dan ada tempat berteduh semula,” katanya. – UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN