Warga emas dipenjara empat bulan, buat komen jelik terhadap institusi diraja - Utusan Malaysia

Warga emas dipenjara empat bulan, buat komen jelik terhadap institusi diraja

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

SEPANG: Seorang lelaki warga emas dijatuhi hukuman penjara empat bulan atas pertuduhan membuat penghantaran komen yang sifatnya menghina, memperlekeh dan mencemar institusi diraja menerusi akaun Facebook miliknya. 

Mat Derus Ali selaku Orang Kena Saman (OKS) mengaku bersalah di Mahkamah Sesyen di sini hari ini sebaik saja pertuduhan dibacakan di hadapan Hakim Ahmad Fuad Othman. 

OKS didakwa atas pertuduhan menggunakan perkhidmatan aplikasi Facebook “Mat Derus” secara sedar membuat dan memulakan penghantaran komen yang jelik sifatnya pada pukul 2.15 pagi, 20 Ogos 2024.

Kesalahan itu didakwa mengikut Seksyen 233(1)(a) Akta Komunikasi dan Multimedia 1998 [Akta 588] yang boleh dihukum di bawah seksyen 233(3) Akta yang sama.

Jika sabit kesalahan, tertuduh boleh dihukum denda tidak melebihi RM50,000 atau dipenjarakan selama tempoh tidak melebihi satu tahun atau kedua-duanya dan juga boleh didenda selanjutnya satu ribu ringgit bagi setiap hari kesalahan itu diteruskan selepas pensabitan.

Pihak pendakwaan yang diwakili oleh Timbalan Pendakwa Raya Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia Malaysia (MCMC), Fadhli Ab Wahab bersama Pegawai Pendakwa, Siti Hajar Sulaiman memohon hukuman yang sewajarnya ke atas OKS.

“Mahkamah hendaklah memberikan pertimbangan terutamanya kepada kepentingan awam. Malahan, kepentingan awam seharusya mendahului kepentingan individu OKS.

“Kepentingan awam hanya akan terpelihara sekiranya hukuman yang dijatuhkan ke atas OKS tersebut dapat menghalang OKS daripada mengulangi kesalahan tersebut, dan pada masa yang sama menghalang orang lain yang mungkin berkecenderungan melakukan kesalahan sama,” katanya. 

Dalam pada itu, OKS yang juga merupakan bekas pekerja GiatMara memohon hukuman diringankan dengan mengambil kira tanggungannya terhadap dua daripada tujuh orang anaknya yang masih bersekolah, termasuk isterinya yang tidak bekerja.

Namun begitu, Ahmad Fuad sebelum menjatuhkan hukuman berkata, perkara berkaitan agama, raja dan kaum (3R) merupakan sentimen yang tidak seharusnya disentuh mana-mana pihak. – UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN