Piala Cahaya pupuk masyarakat bersatu, berdisiplin - Utusan Malaysia

Piala Cahaya pupuk masyarakat bersatu, berdisiplin

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

KUALA LUMPUR: Kejohanan Polo Piala Cahaya bukan sekadar medan persaingan sukan, malah berperanan dalam membentuk masyarakat yang lebih bersatu dan berdisiplin menerusi penerapan nilai-nilai murni seperti kepimpinan, ketahanan diri dan semangat berpasukan.

Pengerusi Malaysia Community Crime Care (MCCC) Pahang, Daniel Khoo berkata, kejohanan itu membuktikan sukan mampu menjadi platform berkesan untuk menyatukan masyarakat serta melahirkan generasi muda yang mempunyai jati diri dan nilai kepimpinan yang tinggi.

Menurutnya, nilai yang dipamerkan sepanjang kejohanan berkenaan melangkaui aspek kemenangan atau kekalahan di gelanggang, sebaliknya menyumbang kepada pembinaan masyarakat yang lebih bertanggungjawab dan harmoni.

“Acara seperti Piala Cahaya menunjukkan bahawa kecemerlangan hanya dapat dicapai menerusi dedikasi, disiplin dan rasa tanggungjawab yang tinggi.

“Sukan sentiasa menjadi platform yang berkesan untuk menyatukan masyarakat, memupuk kepimpinan dan menerapkan nilai-nilai positif dalam kalangan generasi muda,” katanya dalam satu kenyataan hari ini.

                                           

Pada masa sama, beliau turut mengucapkan tahniah kepada Kebawah Duli Paduka Mulia Tengku Arif Bendahara Pahang, Tengku Muhammad Iskandar Ri’ayatuddin Shah ibni Al-Sultan Abdullah Ri’ayatuddin Al-Mustafa Billah Shah dan pasukannya selepas muncul juara Kejohanan Polo Piala Cahaya yang berlangsung di Kelab Polo Kuala Lumpur.

Katanya, kejayaan tersebut mencerminkan komitmen, disiplin serta kerjasama berpasukan yang cemerlang selain membantu mengangkat martabat sukan polo di Malaysia.

“Setinggi-tinggi tahniah kepada Tengku Arif Bendahara Pahang dan pasukannya atas kejayaan menjuarai Piala Cahaya.

“Pencapaian ini membuktikan komitmen, disiplin dan kerjasama berpasukan yang luar biasa, sekali gus meningkatkan profil sukan polo di negara ini,” katanya.

Khoo berkata, penglibatan aktif kerabat diraja dalam aktiviti sukan turut memainkan peranan penting dalam meningkatkan penghargaan masyarakat terhadap sukan polo serta menggalakkan penyertaan lebih meluas dalam sukan ekuestrian.

Beliau turut mengiktiraf penglibatan Tengku Ahmad Shazril Ezzani yang disifatkan sebagai antara pemain polo terbaik negara dan menyatakan kehadirannya telah menambah prestij serta daya saing kejohanan tersebut.

Terdahulu, Sultan Pahang, Kebawah Duli Yang Maha Mulia Al-Sultan Abdullah Ri’ayatuddin Al-Mustafa Billah Shah berkenan mencemar duli menghadiri kejohanan berkenaan dan seterusnya menyampaikan trofi kejuaraan kepada Tengku Muhammad Iskandar Ri’ayatuddin Shah serta pasukannya.

Menurut Khoo, sokongan berterusan keluarga diraja Pahang terhadap sukan polo akan membantu memelihara warisan ekuestrian negara dan memastikan sukan itu terus berkembang serta relevan kepada generasi akan datang. – UTUSAN MALAYSIA.

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN