KUALA LUMPUR: Rakyat sudah letih dengan retorik politik yang hanya berkisar kepada pertelingkahan, sebaliknya mahu pemimpin memberi tumpuan kepada usaha memperbaiki mutu kehidupan mereka.
Pengerusi Barisan Nasional (BN), Datuk Seri Dr. Ahmad Zahid Hamidi berkata, rakyat kini mahu pemimpin politik membicarakan soal pekerjaan yang mampu menjamin masa depan, pendapatan mencukupi serta peluang membina aset.
“Rakyat sudah letih dengan retorik politik yang berputar pada pertelingkahannya sahaja. Mereka mahu tahu apakah yang mampu kita lakukan untuk memperbaiki mutu kehidupan rakyat.
“Mereka mahu pemimpin politik membicarakan soal pekerjaan yang mampu menjamin masa depan, pendapatan yang mencukupi serta memberikan manfaat kepada rakyat.
“Seperti yang saya sebutkan, wang dalam poket dan aset dalam tangan,” katanya.
Beliau berkata demikian ketika berucap pada BN Forum ke-12: Agenda Malaysia Biru di Menara Dato Onn, Pusat Dagangan Dunia Kuala Lumpur (WTC KL), di sini hari ini.
Ahmad Zahid berkata, rakyat juga berhak mengetahui hala tuju yang ingin dibawa untuk negara serta kaedah bagi merealisasikan agenda tersebut.
“Rakyat berhak mengetahui hala tuju yang ingin kita bawa untuk negara ini serta bagaimana kita mahu merealisasikannya.
“Saya percaya politik adalah tentang memberikan harapan kepada rakyat, menawarkan harapan baharu dan meraih kepercayaan mereka melalui usaha serta kerja yang kita lakukan,” katanya.
Menurut beliau, masa dan tenaga pemimpin politik perlu ditumpukan kepada usaha mencari serta mewujudkan penyelesaian, bukannya menuding jari bagi menutup kelemahan sendiri.
“Masa dan tenaga kita mesti ditumpukan kepada usaha mencari serta mewujudkan penyelesaian, bukannya menuding jari untuk menutup kelemahan sendiri,” katanya.-UTUSAN











