KUALA LUMPUR: Barisan Nasional (BN) perlu menawarkan gagasan yang jelas untuk masa depan dan tidak hanya bergantung kepada nostalgia kegemilangan masa lalu sebagai strategi menghadapi Pilihan Raya Umum (PRU) akan datang.
Bekas Menteri Kesihatan, Khairy Jamaluddin berkata, sentimen nostalgia boleh digunakan sebagai sebahagian daripada strategi kempen namun persoalan lebih penting adalah apa yang mampu ditawarkan kepada generasi akan datang.
“Kalau saya nak jadikan ini sebagai kempen pilihan raya, saya memilih slogan ‘Bring back the good old days’ (Kembalikan zaman kegemilangan dahulu).
“Bagi generasi kita, kita tahu ‘the good old days’, iaitu zaman sebelum 2018. Untuk generasi Gen Z, mereka mungkin tidak tahu, tetapi mereka membayangkan sesuatu yang ideal yang tidak ada pada hari ini.
“Jadi, ada rasa nostalgia. Kita ambil nostalgia itu sebagai satu strategi,” katanya dalam BN Forum ke-12: Agenda Malaysia Biru di Menara Dato Onn, Pusat Dagangan Dunia Kuala Lumpur (WTC KL), di sini hari ini.
Bagaimanapun, Khairy menegaskan nostalgia semata-mata tidak mencukupi kerana BN perlu menjawab persoalan mengenai hala tuju negara selepas kembali kepada keadaan yang dianggap lebih baik pada masa lalu.
“Tetapi bagi saya, nostalgia itu sahaja tidak cukup. Kita boleh jual nostalgia, ‘Bring back the good old days’, tetapi ia tidak mencukupi.
“Sebab soalan kedua selepas ‘Bring back the good old days’ adalah ‘what next?’ Apa selepas ini?
“Takkanlah kita hendak bersandarkan semata-mata kepada kegemilangan masa lampau. Kita kena tunjuk juga apa yang kita mahu hadiahkan untuk generasi akan datang,” katanya.-UTUSAN











