KUALA LUMPUR: Seramai kira-kira 300 penduduk di Kampung Melayu Bukit Tarek, Ulu Yam di Hulu Selangor terus menunggu respons Majlis Tindakan Ekonomi Selangor (MTES) mengenai nasib mereka yang `menagih’ kemudahan asas seperti air, elektrik dan jalan raya sejak lebih dua dekad lalu.
Bercakap kepada Utusan Malaysia, Setiausaha Jawatankuasa Bertindak Kampung Melayu Bukit Tarek, Shamsiah Mohamad berkata, butiran mengenai kawasan tersebut telah diserahkan kepada MTES pada Disember tahun lalu tetapi sehingga kini pihaknya belum mendapat apa-apa respon selepas mesyuarat diadakan dengan wakil Pejabat Daerah Hulu Selangor sejak November lalu.
“Selepas banyak laporan dikeluarkan Utusan Malaysia, saya dan beberapa ahli yang lain telah bermesyuarat untuk menghantar laporan kepada Pejabat Daerah yang kemudian akan diserah kepada MTES.
“Saya juga telah mendapat makluman yang perkara ini telah sampai kepada MTES sejak Disember tahun lalu untuk tindakan lanjut,” kata beliau ketika dihubungi, semalam.
Bagaimanapun, katanya, sehingga kini beliau dan penduduk lain masih menunggu apa keputusan di pihak kerajaan.
Utusan Malaysia sebelum ini melaporkan hampir 30 tahun penduduk Kampung Melayu Bukit Tarek belum menikmati kemudahan asas seperti elektrik, air dan jalan raya.
Tinjauan Utusan Malaysia
Walaupun kedudukannya berhampiran Lebuh Raya Utara Selatan (PLUS), seramai 300 penduduknya masih melalui kehidupan menggunakan generator, bateri kereta dan panel solar untuk bekalan elektrik sementara air hujan pula untuk kegunaan harian.
Tinjauan Utusan Malaysia mendapati, pemilik lot kebanyakannya adalah bekas kakitangan kerajaan seperti anggota polis, tentera, pesara, dan pegawai kerajaan.
Isu tersebut sudah mendapat respon Menteri Besar Selangor, Datuk Seri Amirudin Shaari yang dilaporkan berkata, status tanah itu dikenal pasti sebagai hutan simpan setelah Pejabat Tanah dan Galian (PTG) negeri menyiasat kawasan berkenaan.
Bagaimanapun, bekas Menteri Besar Selangor, Dr. Mohamad Khir Toyo kemudian tampil menjelaskan beliau adalah pemimpin yang memberikan geran kepada penduduk Kampung Melayu Bukit Tarek pada 2004 selepas mendapati mereka sudah tinggal di kawasan berkenaan lebih 20 tahun.
“Sekarang isu geran tak sepatutnya timbul, kenapa Menteri Besar mengatakan kawasan itu hutan simpan sedangkan geran sudah ada,” ujarnya Mohamad Khir
Berikutan itu, jelas Shamsiah, pihaknya berharap kerajaan menyegerakan tindakan susulan bagi meringankan beban penduduk yang kini dilihat masih menggunakan generator, bateri kereta dan panel solar untuk menguruskan kehidupan mereka.
“Dulu pun kita dah duduk secara tetap berapa lamanya di situ, sampai akhirnya rumah menyembah bumi, apa yang kami hasilkan semuanya rosak. Ia menyukarkan kehidupan kami,” katanya ringkas.- UTUSAN







