Malaysia perlukan akta kawal dana politik - Utusan Malaysia

Malaysia perlukan akta kawal dana politik

AZAM BAKI
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

PETALING JAYA: Sudah tiba masanya Malaysia mewujudkan akta mengenai pembia­yaan dana politik bagi me­mas­tikan peruntukan yang di­­­terima itu bersih dan bukan daripada sumber haram.

Bercakap kepada Utusan Ma­laysia, Ketua Pesuruhjaya Suruhanjaya Pencegahan Ra­suah Malaysia (SPRM), Tan Sri Azam Baki berkata, undang-undang itu perlu diadakan ba­gi mengawal dana-dana yang diterima parti po­litik da­­ripada sumber yang tidak da­pat dipastikan.

Ini kerana, kata beliau, SPRM sukar untuk membezakan pemberian dana politik dengan rasuah, namun apabila menerima aduan berhubung seorang ahli politik menerima dana daripada sumber yang tidak dapat dipastikan, baru­lah suruhanjaya itu boleh men­jalankan siasatan dan meng­­klasifikasikannya sebagai kes rasuah.

“Jadi, kita perlu mengambil contoh negara-negara lain yang mempraktikkan akta ini, pada masa sama ahli politik dapat membuktikan kepada rakyat kepemimpinan telus dan berintegriti.

“Sumber dana-dana yang di­peroleh perlu dipastikan be­nar-benar bersih dan bukan dari sumber haram,” katanya da­lam wawancara khas di pe­jabatnya di sini semalam.

Mengulas lebih lanjut, kata Azam, ketika ini negara tidak mempunyai undang-undang khusus berhubung pembia­yaan dana politik, namun beliau mengalu-alukan sekiranya ahli politik dan parlimen mewujudkan akta itu.

Beliau juga mengakui SPRM sukar untuk membezakan pemberian dana politik dengan rasuah, namun apabila menerima laporan berhubung seorang ahli politik menerima dana, SPRM akan menjalankan siasatan dan mengklasifikasikannya sebagai kes rasuah.

“Setakat ini kita tidak menyiasat mana-mana orang ke­rana tiada undang-undang itu. Namun begitu, sekiranya kita dapat aduan mengenai penerimaan dana-dana tertentu, kita akan klasifikasikan sebagai kes rasuah,” jelasnya.

Dalam pada itu, Azam turut menjelaskan, SPRM tiada kuasa untuk menghalang mana-mana individu atau ahli politik lompat parti.

Jelas beliau, siasatan hanya akan dilakukan sekiranya ada sebarang bukti berlakunya penawaran wang.

“Tidak dapat dinafikan kita pernah menerima laporan berhubung penawaran wang untuk lompat parti namun tiada kes yang boleh dibuktikan ada wang dibayar,” katanya.

Pada Oktober 2019, kerajaan bercadang membentangkan Rang Undang-Undang Pembiayaan Dana Politik pada sesi parlimen tahun seterusnya.

Menteri di Jabatan Perdana Menteri ketika itu, Datuk Liew Vui Keong menjelaskan, penyediaan rang undang-undang berkenaan akan memfokuskan aspek mengawal selia sumba­ngan politik dalam usaha kerajaan membentuk ekosistem negara yang bebas rasuah pada masa akan datang. – UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

×