Guru tuisyen nafi dakwaan cabul pelajar - Utusan Malaysia

Guru tuisyen nafi dakwaan cabul pelajar

LEE Chuen Sing (dua kiri) menunjukkan laporan polis yang dibuat bagi menafikan dakwaan mencabul anak muridnya dalam sidang akhbar di Stulang Laut, Johor Bahru, semalam.
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

JOHOR BAHRU: Seorang guru dan juga pengusaha pusat tuisyen di sini menafikan dakwaan dia terlibat dengan gangguan seksual terhadap anak muridnya oleh seorang wanita yang tidak dikenali menerusi laman sosial Facebook, Ahad lalu.

Guru berkenaan, Lee Chuen Sing, 44, memberitahu, walaupun tidak mengenali wanita berkenaan tetapi dia percaya dakwaan itu bertujuan mengganggu perusahaan pusat tuisyen yang dijalankan.

Katanya, dia telah berkhidmat sebagai guru dan mengusahakan pusat tuisyen berkenaan selama hampir 20 tahun, namun ini kali pertama dilemparkan dakwaan sedemikian.

“Saya menafikan dakwaan itu dengan sekeras-kerasnya, kerana ia dibuat oleh seorang individu yang tidak saya kenali dan bukan oleh anak murid saya atau ahli keluarga mereka.

“Walaupun tiada sebarang bukti, tetapi saya percaya tindakan wanita yang tidak dikenali itu bertujuan menjatuhkan kredibiliti saya,” katanya pada sidang akhbar di pusat tuisyennya di Stulang Laut, di sini.

Chuen Sing yang mengajar subjek Matematik Tambahan hanya tahu berhubung dakwaan itu selepas seorang anak muridnya memaklumkan berhubung akaun Facebook bernama Apple Liew Yang mendakwa dia melakukan gangguan seksual terhadap salah seorang anak muridnya.

Tuduhan itu termasuk tindakan cubaan memegang tubuh badan dan cuba mencium pelajar perempuannya di pusat tuisyen berkenaan.

Sehubungan itu, guru terbabit membuat satu laporan polis berhubung perkara itu di Balai Polis Taman Pelangi Indah, petang Ahad lalu.

Sementara itu, Ketua Polis Daerah Johor Bahru Selatan, Asisten Komisioner Raub Selamat mengesahkan pihaknya telah menerima laporan polis berkenaan dan akan menjalankan siasatan terperinci. – UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN