Bekas COO guna dokumen palsu didenda RM200,000 

Bekas COO guna dokumen palsu didenda RM200,000 

AZMI Amin Sarji (kiri) yang mengaku salah terhadap tiga pertuduhan pilihan menggunakan dokumen palsu sebagai tulen keluar dari Mahkamah Sesyen, Alor Setar hari ini. - UTUSAN/MOHD. RAFIE AZIMI
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

ALOR SETAR: Seorang bekas Ketua Pegawai Operasi (COO) sebuah syarikat pembersihan didenda sebanyak RM200,000 oleh Mahkamah Sesyen di sini, hari ini selepas mengaku bersalah terhadap tiga pertuduhan pilihan, menggunakan dokumen palsu sebagai tulen, pada 2017 dan 2018.

Tertuduh, Azmi Amin Sarji, 53, membuat pengakuan itu sebaik sahaja pertuduhan dibacakan terhadapnya oleh jurubahasa di depan Hakim Harmi Thamri Mohamad.  

Mengikut ketiga-tiga kertas pertuduhan pilihan itu, Azmi yang merupakan bekas COO Syarikat E-Idaman Sdn. Bhd. didakwa dengan curangnya menggunakan tiga dokumen sebagai tulen iaitu sijil pembayaran bagi November 2017 berjumlah RM74,489, sijil pembayaran Disember 2017 yang juga berjumlah RM74,489 dan sijil pembayaran untuk Mac 2017 berjumlah RM426,935.

Mengikut pertuduhan, dia yang mengetahui kesemua dokumen itu palsu digunakan untuk membolehkan pihak tertentu membuat tuntutan bayaran dari syarikat berkenaan.

Bagi pertuduhan pilihan pertama dan kedua, Azmi didakwa melakukan kesalahan itu pada 4 Jun 2018 di Pejabat E-Idaman (Kedah dan Perlis) Sdn. Bhd. di Wisma Idaman, Bandar Stargate dekat sini.

Pertuduhan pilihan ketiga pula, dia didakwa melakukan kesalahan itu secara niat bersama dengan bekas Ketua Pegawai Eksekutif syarikat tersebut, Mhd. Shaiful Anuar Zainal antara 8 Mei dan 9 Mei 2017 di lokasi sama.

Hakim menetapkan denda sebanyak RM70,000 bagi kesalahan pertama dan kedua manakala hukuman denda bagi pertuduhan ketiga, ditetapkan sebanyak RM60,000.

Tertuduh didakwa mengikut Seksyen 471 Kanun Keseksaan yang jika sabit kesalahan boleh dihukum penjara maksimum dua tahun dan denda.Sekiranya gagal membayar denda tersebut, tertuduh boleh dipenjara sebanyak 12 bulan bagi setiap pertuduhan dihadapi.

Pertuduhan dikendalikan Timbalan Pendakwa Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM), Tan Sew Ping dan tertuduh pula diwakili peguam, Shamsul Sulaiman. – UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

Teruskan membaca

Nikmati akses tanpa had serendah RM9.90 sebulan

Sudah melanggan? Log Masuk untuk membaca berita sepenuhnya