PETALING JAYA: Penternak sepatutnya menyediakan bekalan ayam dan telur sekurang-kurangnya dalam tempoh dua bulan berbanding empat bulan yang dijamin kerajaan.
Timbalan Presiden Gabungan Persatuan-Persatuan Pengguna Malaysia (FOMCA), Mohd. Yusof Abdul Rahman berkata, ketika ini, semua pihak perlu mengambil sikap kerjasama dalam memastikannya mencukupi.
Bagaimanapun, katanya, ia diharap berada dalam pasaran sekurang-kurangnya dalam tempoh dua bulan bagi memenuhi permintaan.
“Memang proses mengambil masa sehingga empat bulan, cuma kita berharap bekalan mula ada di pasaran pada dua atau satu bulan lebih dari sekarang dan beransur stabil
“Namun, mungkin tempoh empat bulan itu bagi memastikan bekalan tersebut benar-benar cukup.” katanya ketika dihubungi Utusan Malaysia.
Kelmarin, Kementerian Pertanian dan Industri Makanan memberi jaminan untuk menstabilkan harga ayam dan bekalan telur ayam dalam tempoh empat bulan.
Menterinya, Datuk Seri Dr. Ronald Kiandee berkata, ia berikutan ternakan ayam mengambil masa tempoh 35 hingga ke 40 hari untuk matang.
Mohd. Yusof menambah, pengguna juga dinasihatkan untuk mengurangkan penggunaan bekalan terutamanya ayam pada bulan Ramadan mahupun perayaan Aidilfitri.
“Dalam masa sama, pengguna sepatutnya perlu bersederhana dari segi penggunaan bagi membolehkan bekalan mencukupi keperluan semua pengguna.
“Jadi ini adalah masanya,” ujarnya.
Dalam pada itu, Presiden Persatuan Peruncit Bumiputera, Datuk Ameer Ali Mydin berkata, kerajaan diharap dapat menurunkan harga ayam selepas bekalan mencukupi bagi membantu meringankan beban rakyat.
Katanya, ini berikutan kadar harga runcit bagi ayam standard pada RM 8.90 ketika ini dilihat masih mahal kepada pengguna membeli bekalan tersebut. – UTUSAN











