KUALA LUMPUR: Semua permohonan pelaburan asing yang dihantar oleh 1Malaysia Development Berhad (1MDB) tertakluk pada syarat-syarat di bawah Akta Kawalan Pertukaran Wang 1953.
Bank Negara Malaysia (BNM) memaklumkan, syarat-syarat berkenaan adalah seperti yang dikuatkuasakan sebelum tahun 2013 yang selepas itu digantikan oleh Akta Perkhidmatan Kewangan 2013.
“Syarat-syarat ini dan kriteria yang mengawal pelaburan tersebut adalah telus dan diterbitkan dalam laman sesawang Bank Negara.
“Justeru, kesemua permohonan yang dihantar oleh 1MDB adalah tertakluk pada kriteria kelulusan dan proses tadbir urus dalaman. Ini digunakan dalam mana-mana permohonan dihantar oleh entiti-entiti lain kepada Bank Negara,” katanya dalam satu kenyataan semalam.

Kenyataan itu hadir setelah Bank Negara merujuk testimoni saksi dalam perbicaraan yang sedang berlangsung di New York. Ia mengenai kelulusan diberikan Bank Negara kepada 1MDB untuk melabur di luar negara pada 2009.
Dalam pada itu, Bank Negara turut mengulas laporan terdahulu mengenai maklumat diterima daripada unit perisikan kewangan (FIU) asing berkaitan akaun milik suami kepada bekas Gabenor.
“Bank Negara telah memberi maklumat kepada agensi penguatkuasaan undang-undang berkaitan pada April 2016. Ia selaras dengan tanggungjawab Bank Negara di bawah Akta Pencegahan Pengubahan Wang Haram, Pencegahan Pembiayaan Keganasan dan Hasil daripada Aktiviti Haram 2001,” katanya.
Sebelum ini Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) juga mengesahkan telah berhubung dengan pihak Amerika Syarikat (AS) bagi berkongsi maklumat sekiranya mereka mempunyai bukti terdapat individu lain yang didakwa turut menerima dana dikaitkan 1Malaysia Development Berhad (1MDB).
Mengesahkan perkara itu kepada Utusan Malaysia, Ketua Pesuruhjaya SPRM, Tan Sri Azam Baki berkata, perkongsian maklumat itu dibuat selepas pihaknya menerima aduan mengenai nama-nama tertentu yang disebut di luar negara yang dikatakan menerima suapan daripada entiti berkenaan
Menurut beliau, SPRM membuka kertas siasatan mengenai laporan berkenaan dan sekiranya ada maklumat yang diminta, pihaknya sedia berkongsi bukti-bukti berkenaan.










