Suka sangat viral, lebih baik mohon jadi wartawan - Dayana Roza - Utusan Malaysia

Suka sangat viral, lebih baik mohon jadi wartawan – Dayana Roza

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

KUALA LUMPUR : Pelakon, Dayana Roza, 31, meluahkan rasa kecewa dan bengang dengan sikap sesetengah pengguna media sosial dan warganet yang terlalu taksub untuk menularkan sesuatu perkara sehingga mengabaikan beberapa hal utama.

Ia merujuk kepada penularan sebuah video di media sosial yang memaparkan seorang pemandu lori yang disahkan meninggal dunia akibat serangan jantung ketika sedang memandu sebelum merempuh tiga buah kenderaan dalam kejadian di Sungai Buloh, kelmarin.

Menurut Dayana, secara peribadi, budaya taksub merakam sesuatu kejadian seharusnya dihentikan.

“Tolonglah hentikan budaya rakam-merakam untuk tujuan tular ini. Amalkan budaya tolong-menolong. Kalau suka sangat tular-tular, baik memohon jadi wartawan. Ada juga gaji daripada tular secara percuma sahaja.

“Semoga jadi pengajaran untuk kita supaya menjadi manusia yang lebih bertanggungjawab,”katanya.

Dayana berkata demikian dalam satu hantaran yang dimuat naik di Instagramnya pada malam tadi.

Terdahulu, menerusi hantaran yang sama, Dayana juga mengakui telah memuat naik video pemandu lori tersebut namun telah bertindak memadamnya demi menghormati arwah selain keluarganya.

“Saya padam video itu sebab tak sanggup tengok keadaan arwah dan demi menghormatinya. Tak elok muat naik lama-lama. Cukuplah, saya sudah luahkan perasaan. Jadi marah sangat dengan tukang rakam dan viralkan.

“Semoga budaya rakam dulu baru tolong di Malaysia ini tiada lagi selepas ini. Jadilah manusia yang menggunakan akal, hati dan perasaan.Sudah tahun 2022, janganlah negatif sangat, suka menuduh. Fitnah.

“Itu semua kena buang sebab mungkin kita pandang orang itu jahat tapi kita tak tahu kebaikan yang dia buat yang mungkin lebih banyak daripada kita.Simpanlah telefon, hulurkan tangan tolong orang dalam kesusahan. Tak viral orang tak nampak tak apa. Allah SWT nampak,”katanya.

Dalam pada itu, menerusi tinjauan Utusan Malaysia, ruangan komen hantaran tersebut di akaun Instagram Dayana juga dihujani dengan pelbagai reaksi daripada peminat dan pengikutnya.

Rata-ratanya menerima baik pandangan yang dilontarkan oleh Dayana dan bersetuju bahawa budaya dan sikap gemar menularkan sesuatu yang tidak sahih harus dihentikan.

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

Teruskan membaca

Nikmati akses tanpa had serendah RM9.90 sebulan

Sudah melanggan? Log Masuk untuk membaca berita sepenuhnya