PETALING JAYA: Ketua Pengarah Kesihatan, Tan Sri Dr. Noor Hisham Abdullah menafikan surat terbuka 113 doktor yang mendakwa Program Imunisasi Covid-19 Kebangsaan (PICK) gagal selain berisiko radang otot jantung kepada penerima.
Beliau menegaskan, PICK berada di landasan betul apabila lengkuk virus Covid-19 berjaya dilandaikan setelah pandemik itu berlaku hampir dua tahun.
Bercakap kepada Utusan Malaysia, katanya, usaha itu menunjukkan pengurangan amat ketara daripada segi kadar jangkitan Covid-19 dan kemasukan ke hospital, sekali gus membolehkan rakyat menjalani semula kehidupan dalam norma baharu.
Namun, katanya, Kementerian Kesihatan (KKM) sentiasa memperkukuhkan strategi-strategi untuk memastikan rakyat Malaysia mendapat akses kepada vaksin Covid-19 yang selamat dan berkesan.
“Sepanjang pandemik Covid-19, satu daripada usaha kritikal bagi KKM adalah pelaksanaan PICK. Walaupun program mendapat sambutan positif dan menggalakkan, namun kita sentiasa memperkukuhkan strategi-strategi untuk memastikan agar rakyat Malaysia mendapat akses kepada vaksin Covid-19 yang selamat dan berkesan.
“Ini memerlukan usaha yang menyeluruh semua pihak termasuk daripada pelbagai kementerian, agensi-agensi kerajaan, badan sukarelawan dan komuniti.
“Hasil usaha itu semua pihak termasuk dalam program ini, keluk pandemik Covid-19 di negara Malaysia juga telah berjaya dilandaikan,” katanya.
Beliau mengulas surat terbuka oleh 113 pengamal perubatan kepada Perdana Menteri, Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob yang tular baru-baru ini mendakwa risiko radang otot jantung (myocarditis) dalam populasi penerima vaksin adalah satu dalam 3,000 orang.
Mengulas lanjut, Dr. Noor Hisham menambah kadar kes jangkitan Covid-19 bagi setiap 1,000 populasi melibatkan dalam kalangan kumpulan tidak divaksin adalah jauh lebih tinggi daripada orang ramai yang menerima suntikan pelalian tersebut.
Beliau menjelaskan, rumusan itu berdasarkan kajian The Real World Evaluation of Covid-19 Vaccination (Recovam) di bawah PICK bagi melihatkan keberkesanan dan keselamatan vaksin sejak dilancarkan di negara ini pada tahun lalu. – UTUSAN










