JOHOR BAHRU: Mesyuarat kepemimpinan UMNO Johor termasuk melibatkan semua 26 ketua bahagiannya hari ini mencetuskan spekulasi pembubaran Dewan Undangan Negeri (DUN) Johor bagi memberi laluan kepada Pilihan Raya Negeri (PRN).
Pelaksanaan PRN Johor dijangka dibincangkan dalam mesyuarat itu selepas Majlis Tertinggi (MT) UMNO memberi lampu hijau dan menyerahkan kepada Menteri Besar, Datuk Hasni Mohammad selaku Pengerusi Badan Perhubungan UMNO Negeri berhubung perkara berkenaan.
Menurut sumber, mesyuarat dijadual berlangsung pukul 2 petang di Ibu pejabat UMNO di sini, akan membincangkan calon-calon untuk setiap kerusi yang dipertanding sebelum Hasni dilapor mengadakan sidang akhbar selepas itu.
Spekulasi itu dikuatkan lagi apabila sumber memaklumkan Presiden UMNO, Datuk Seri Dr. Ahmad Zahid Hamidi akan ke negeri ini dalam waktu terdekat.
Malah, Naib Presiden UMNO, Datuk Seri Mahdzir Khalid mengesahkan UMNO Johor akan membincangkan kewajaran mengadakan PRN negeri bagi mencari mandat baharu mendirikan kerajaan yang lebih stabil berbanding majoriti satu kerusi sekarang.
Dalam sidang akhbar sempena Majlis Penyampaian Bantuan Pembelian Barangan Keperluan Asas Dewan Undangan Negeri (DUN) Sri Tanjung Parlimen Port Dickson di Negeri Sembilan semalam, Mahdzir menyifatkan pemilihan masa yang sesuai untuk mengadakan PRN Johor amat penting.
“Kalau hendak buat pilihan raya apa yang paling penting adalah timing (masa). Saya tiada info bila berkenaan masa (PRN), itu mereka di Johor yang ada.
“Dalam masa sehari ke dua hari ini UMNO akan bincangkan (kewajaran mengadakan PRN Johor) dalam masa terdekat,” katanya.
Sementara itu, pemimpin parti-parti politik menyatakan kesediaan menghadapi PRN Johor meskipun terdapat beberapa pihak yang membantahnya sebelum ini.
Ahli Parlimen DAP Kulai, Teo Nie Ching ketika dihubungi berkata, Pakatan Harapan (PH) akan memulakan perbincangan dengan pengasas Parti Ikatan Demokratik Malaysia (Muda), Syed Saddiq Syed Abdul Rahman untuk bekerjasama menghadapi PRN kali ini.
“Kami memang sudah mula membuat persediaan dan beberapa pasukan telah diatur untuk memulakan aktiviti berkempen. Walaupun PH solid dalam satu gabungan, kami perlu mempercepat perbincangan dengan Muda untuk menghadapi PRN ini,’’ katanya.- UTUSAN










