Pengundi muda tidak peduli daftar automatik - Utusan Malaysia

Pengundi muda tidak peduli daftar automatik

ABDUL GHANI SALLEH
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

PUTRAJAYA: Kurang 300,000 daripada 5.7 juta pengundi baharu yang bakal terlibat dalam pendaftaran automatik tampil untuk membuat semakan maklumat masing-masing.

Perkara itu dikenal pasti Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) semasa pihaknya melaksanakan Semakan Pra Pendaftaran Automatik (SPPA) bagi tujuan semakan maklumat dan alamat, yang berlangsung dalam tempoh sebulan.

Bercakap kepada Utusan Malaysia, Pengerusi SPR, Datuk Abdul Ghani Salleh berkata, situasi itu sekali gus menunjukkan ramai yang tidak berminat atau mengambil mudah perkara ini.

Bagaimanapun, menurut beliau, SPR masih membenarkan semakan dibuat jika wujud sebarang bantahan atau prasangka selepas sejumlah 5.7 juta pengundi baharu dalam kalangan undi 18 tahun dan pendaftaran automatik 21 tahun dan ke atas diwartakan dan diperakukan pada 14 Januari lalu.

Ini kerana, jelas beliau, suruhanjaya itu tidak lagi akan mengadakan pameran untuk Daftar Pemilih Tambahan (DPT) itu kerana peruntukan undang-undang yang sedang berkuat kuasa tidak membenarkan bantahan ke atas pemilih baharu ini.

Namun, beliau berkata, SPR memberi jaminan tidak ada sebarang manipulasi data oleh pihak-pihak tertentu untuk membuat ‘tambahan’ jumlah pengundi termasuk isu-isu melibatkan pengundi hantu dan bukan dalam kalangan warganegara.

“Sejumlah 5.7 juta pemilih baharu ini boleh membuat semakan dan sekiranya mereka mendapati namanya tidak disenaraikan dalam DPT, mereka boleh membuat tuntutan dengan mengisi Borang C (Tuntutan) secara dalam talian di pautan https://myspr.spr.gov.my atau hadir ke Pejabat Pilihan Raya Negeri yang berkenaan.

“Bagaimanapun, sekiranya mereka mendapati mereka didaftarkan di alamat yang tidak lagi bermastautin, mereka perlu mengemas kini alamat di Jabatan Pendaftaran Negara (JPN) dan memohon pertukaran alamat dengan SPR. Penentuan lokaliti tempat mengundi tertakluk kepada alamat yang ada di MyKad,” katanya ketika ditemui di pejabat beliau, di sini baru-baru ini.

Abdul Ghani berkata, perancangan asal SPR adalah mempamerkan dahulu semua penama pemilih baharu tersebut dalam dua atau tiga bulan supaya mereka boleh menyemak maklumat sebelum didaftarkan.

Kata beliau, mereka boleh membuat pertukaran alamat di JPN sekiranya perlu dan data perubahan itu akan dimasukkan terus ke sistem SPR.

“Sekarang, perkara itu tidak sempat dibuat kerana tarikh (pelaksanaan pengundi 18 dan pendaftaran pemilih automatik) dipercepatkan, ” katanya.

Mengulas lanjut berhubung pelaksanaan Undi 18, beliau berkata, bagi SPR, tidak wujud apa-apa manipulasi golongan ini walaupun faktor usia masih muda.

Namun, beliau berharap peranan keluarga, media, masyarakat dan kepimpinan politik dapat memberi penerangan baik kepada anak-anak supaya memahami sistem demokrasi yang diamalkan selama ini.

Dalam usaha itu, beliau berkata, perancangan SPR untuk mendidik anak-anak melalui Akademi Pilihan Raya sama ada di peringkat sekolah dan universiti dengan memberikan taklimat mengenai kefahaman mustahak sebuah negara mengamalkan demokrasi di samping kerjasama semua termasuk parti politik sedia ada.

“Aspek pendidikan amat penting terutama di peringkat sekolah dengan memasukkan modul pemahaman tentang pilihan raya dan peranan SPR supaya mereka diberi kesedaran awal.

“Sebelum ini masyarakat tidak banyak diberikan pendedahan sehinggakan sejumlah 4.3 juta warganegara berusia 21 tahun ke atas tidak berdaftar sebagai pemilih. Dan mereka ini kalau didaftarkan pun kita tak pasti mereka akan mengundi atau tidak,” katanya.

Pada masa sama, beliau mahu semua pihak mengambil peranan agar pelaksanaan Undi 18 dan pendaftaran pemilih automatik memuaskan kerana jumlahnya tinggi dan meningkat sehingga 21 juta iaitu satu pertambahan agak besar.

Juseru, katanya, SPR perlu menyediakan semua keperluan logistik dan peralatan seperti pilihan raya, kertas undi, saluran mengundi, sistem ICT termasuk petugas iaitu kesan kepada pertambahan pengundi yang dilaksanakan dan memerlukan bajet yang besar.

Pada 14 Januari lalu, SPR mewartakan dan memperakukan DPT sehingga bulan Disember tahun lepas selepas pendaftaran undi 18 yang dibuat secara automatik dikuatkuasakan 15 Disember tahun lalu.

Jumlah keseluruhan 5.7 juta warganegara berkelayakan terlibat dalam undi automatik, iaitu 1.4 juta pengundi baharu berusia 18 hingga 20 tahun dan 4.3 juta merupakan mereka yang layak berusia 21 tahun dan ke atas.

Sekiranya terdapat pembubaran Parlimen atau Dewan Undangan Negeri (DUN) selepas tarikh tersebut, pengundi 18 tahun dan ke atas boleh mengambil bahagian dalam pilihan raya berkenaan melibatkan jumlah keseluruhan pemilih 21 juta.

Bajet mengurus PRU-15 dianggarkan melebihi RM1 bilion kerana sebelum ini lebih kurang RM500 juta (PRU-14), namun disebabkan SOP Covi-19, ini memerlukan pertambahan peralatan dan logistik serta kelengkapan perlindungan diri. – UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

×