Kerajaan Johor boleh tadbir hingga tamat penggal - Utusan Malaysia

Kerajaan Johor boleh tadbir hingga tamat penggal

SUHAIZAN KAIAT
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

JOHOR BAHRU: Kerajaan negeri Johor yang memiliki majoriti satu kerusi Dewan Undangan Negeri (DUN) masih boleh terus mentadbir negeri itu sehingga tamat penggal atau sekurang-kurangnya menjelang Pilihan Raya Umum Ke-15 (PRU-15).

Ini kerana kerajaan negeri Kelantan di bawah pimpinan Allahyarham Datuk Nik Abdul Aziz Nik Mat pernah berdepan situasi sama memiliki kelebihan satu sahaja kerusi majoriti pada 2005 selepas Pas memenangi PRU-11 setahun sebelum itu.

Bercakap kepada Utusan Malaysia, Speaker Dewan Undangan Negeri (DUN) Johor, Suhaizan Kaiat berkata, kedudukan yang menyaksikan 23-22 kerusi antara kerajaan negeri itu dengan pembangkang terus kekal sehingga tamat penggal pada 2008.

Sehubungan itu, beliau berpendapat tiada masalah untuk kerajaan negeri Johor yang turut memiliki majoriti satu kerusi DUN ketika ini terus mentadbir sehingga tamat penggal ke-14 atau sekurang-kurangnya menjelang PRU-15.

“Pernah terbukti dalam negara kita, negeri Kelantan yang hanya satu kelebihan majoriti pada masa itu boleh berfungsi seperti biasa. Selama tempoh itu walaupun dalam keadaan tipis, kerajaan Kelantan masih boleh berfungsi tanpa sebarang masalah.

“Jadi, saya tidak berapa jelas mengapa perlu DUN Johor dibubarkan pada masa ini,” katanya ketika mengulas spekulasi pembubaran DUN negeri itu yang kembali hangat diperkatakan sejak kebelakangan ini.

Pas menang 24 kerusi DUN Kelantan pada 2004, namun pada 6 Disember 2005, calon Barisan Nasional (BN) DUN Pengkalan Pasir, Hanafi Mamat memenangi Pilihan Raya Kecil (PRK) di kawasan itu yang diadakan susulan kematian pe­nyandangnya, Wan Abdul Aziz Wan Jaafar.

Kemenangan Hanafi menyebabkan majoriti Pas yang mentadbir Kelantan berkura­ngan kepada 23 kerusi sekali gus meletakkannya kelebihan satu kerusi sehingga PRU-12.

Semalam, Timbalan Pengerusi PKR Johor, Jimmy Puah Wee Tse turut mengulangi pendirian parti itu dan Pakatan Harapan (PH) yang tidak mahu sebarang usaha mengadakan Pilihan Raya Negeri (PRN) diadakan dalam masa terdekat kerana kerajaan negeri berfungsi dengan baik.

Ia susulan kenyataan Menteri Besar, Datuk Hasni Mohammad yang memaklumkan kerajaan negeri tidak berapa gemar de­ngan istilah satu ketika ini dipercayai merujuk kepada majoriti satu kerusi selepas kematian ADUN Kempas, Datuk Osman Sapian pada Disember lalu.

DUN Johor ketika ini me­nyaksikan kedudukan kerajaan dan pembangkang tipis dengan 28-27 kerusi iaitu 14 kerusi dimiliki UMNO, 11 Parti Pribumi Bersatu Malaysia (Bersatu) dan satu wakil Pas.

PH pula ditunjangi 14 kerusi DAP, 7 PKR dan 6 Parti Amanah Negara (Amanah).

Dalam pada itu, Suhaizan berkata, mengikut Undang-Undang Tubuh Kerajaan Johor 1895, Sultan Johor, Sultan Ibrahim Sultan Iskandar mempunyai kuasa bagi membubarkan DUN atas nasihat

Majlis Mesyuarat Kerajaan Negeri atau Menteri Besar.

“Perkara ini sudah disebutkan dalam Fasal 23(2) yang perlu dibaca bersama Fasal 7(1) Undang-Undang Tubuh Kerajaan Johor 1895 iaitu Sultan Johor boleh menangguhkan atau memansuhkan DUN.

“Justeru, bergantung kepada Menteri Besar sama ada untuk menasihatkan atau tidak Tuan­ku Sultan mengenai pembubaran DUN,” katanya. – UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

×