KUALA LUMPUR: Kementerian Pendidikan (KPM) akan mengenakan tindakan tegas ke atas sekolah atau pentadbirannya jika mereka didapati menyembunyikan kejadian buli di sekolah terbabit.
Menegaskan perkara tersebut, Senator Datuk Dr. Radzi Md. Jidin berkata, ia sebagai langkah pencegahan dan KPM memandang serius perbuatan buli melibatkan pelajar.
“Kita sedar, kes buli sudah lama berlaku, sebab itu kita sedang melihat secara menyeluruh, bagaimanakah pendekatan yang boleh dilaksanakan iaitu seperti memperkukuhkan pemantauan oleh warden di asrama,” katanya di Dewan Rakyat, semalam.
Terdahulu, Che Alias Hamid (Pas-Kemaman) meminta kerajaan menyatakan usaha bagi menangani masalah buli di sekolah khususnya membabitkan pelajar yang tinggal di asrama seperti didedahkan kebelakangan ini.
Menurut Radzi, pihak sekolah boleh melaporkan semua kes buli dalam sistem dan kaedah itu membolehkan KPM mengetahui maklumat seterusnya mengambil tindakan yang sewajarnya.
Dalam masa sama, beliau berkata, KPM sedang membuat satu kerangka bagi membanteras kejadian buli termasuk dalam kalangan pelajar yang berada asrama.
Jelas Radzi lagi, dalam konteks kesedaran pula, KPM akan memperkenalkan konsep Sekolahku Sejahtera bagi memupuk nilai penting kehidupan dalam kalangan warga sekolah termasuk murid.
“Nilai ini diterap dan dididik oleh guru secara langsung atau tidak langsung dalam aktiviti kurikulum dan kokurikulum.
“Ini bagi memastikan murid benar-benar dapat menghayatinya, seterusnya menjadi sebahagian daripada amalan dalam kehidupan mereka, sama ada di sekolah atau di luar sekolah,” katanya.
Baru-baru ini tular satu klip video yang memaparkan sekumpulan pelajar di Maktab Rendah Sains Mara (MRSM) di Kuala Kangsar, Perak dalam aksi menumbuk dan menendang seorang pelajar lain.
Ketua Polis Perak, Datuk Mior Faridalathrash Wahid berkata, sisasatan kejadian itu mendapati mangsa diperlakukan sedemikian selepas didakwa menegur kumpulan pembuli itu yang menonton video lucah.
Berikutan kejadian itu, Jawatankuasa Disiplin Maktab (JDM) membuat keputusan menamatkan pengajian 10 pelajar terbabit berkuat kuasa semalam.
Ketua Pengarah Mara, Datuk Azhar Abdul Manaf berkata, mesyuarat JDM telah mengkaji kes berkenaan dengan teliti sebelum mengambil keputusan menamatkan pengajian mereka.
“Keputusan penamatan pengajian itu dibuat berdasarkan garis panduan yang telah dinyatakan dalam Panduan Pengurusan Disiplin Pelajar MRSM
“Pihak Mara mengambil serius kejadian buli yang berlaku minggu lalu dan hukuman yang diputuskan menunjukkan kita tegas dan tidak berkompromi terhadap kesalahan buli dalam kalangan pelajar di bawah Institusi Pendidikan Mara dan tajaan Mara,” katanya dalam satu kenyataan semalam. – UTUSAN










