PUTRAJAYA: Bencana banjir besar yang melanda Lembah Klang sejak Jumaat lalu menggambarkan Malaysia hampir tiada langsung persediaan bagi menghadapi kejadian tersebut selepas kali terakhir berlaku 50 tahun lalu iaitu pada tahun 1971.
Bercakap kepada Utusan Malaysia, Ketua Kluster Alam Sekitar dan Kelestarian, Akademi Profesor Malaysia (APM), Prof Emeritus Datuk Dr. Ibrahim Komoo berkata, berbeza dengan negeri-negeri di Pantai Timur yang hampir setiap tahun dilanda banjir dengan kerajaan setiap negeri bersama komunitinya sentiasa bersedia.

Menurut beliau, banjir kilat memang sering berlaku setiap kali hujan lebat, namun ia berlaku secara tempatan dan surut beberapa jam sahaja, malangnya tidak banyak persediaan untuk situasi sebegini.
“Hujan yang sangat lebat turun di Banjaran Titiwangsa, air turun melalui lurah pada cabang Sungai Klang dan Sungai Langat. Jalan dan kediaman sepanjang alur sungai banyak yang rosak dan musnah.
“Air yang banyak itu berkumpul di kawasan rendah (dataran banjir) di Kuala Lumpur, Shah Alam dan Klang – melimpah tebing, pada ketinggian mencapai 2 meter – ini yang menyebabkan bencana banjir di kawasan meluas,” katanya di sini semalam.
Dalam hal itu, Ibrahim berkata, banjir besar Lembah Klang yang terbaru ini memberikan pengajaran besar dan kerajaan perlu mengumpul data kejadian, seperti tempat ditenggelami, paras air, hala tuju air dan impak kepada prasarana.
Katanya, data ini akan menjadi panduan untuk perancangan bandar, reka bentuk baharu perumahan, kemudahan berhadapan bencana banjir dan rancangan kawalan banjir.
“Antara yang patut kita tahu kini ialah banjir besar di Lembah Klang banjir boleh berlaku sekali dalam tempoh setiap 39-50 tahun,” katanya.
Pengerusi Jabatan Sains Bumi dan Alam Sekitar, Fakulti Sains dan Teknologi Universiti Kebangsaan Malaysia (UKM), Prof. Dr. Fredolin Tangang pula berkata, negara sedang berdepan risiko bencana iklim bukan sahaja membabitkan kejadian banjir, malah kemarau buruk berikutan pemanasan global semakin meningkat.

Menurut beliau, perubahan iklim mengakibatkan bencana seperti banjir meningkat bukan sahaja di negara ini tetapi di Asia Tenggara dan juga di peringkat global.
Kata Fredolin, prospek untuk dunia mengekang pemanasan global di bawah 1.5 darjah Celcius semakin tipis dan negara-negara membangun termasuk Malaysia perlu bersedia dan meningkatkan langkah-langkah adaptasi untuk mengurangkan impak.
Menurut beliau, jika pembangunan dilakukan secara tidak teratur tanpa mengira peningkatan cuaca ekstrim di masa hadapan di samping ketiadaan langkah-langkah adaptasi, pastinya negara berdepan impak lebih teruk.
“Kita perlu menilai semula dan perlu mengambil iktibar dari kejadian ini dan memperbaiki langkah-langkah menangani isu banjir,” katan beliau yang juga pakar klimatologi.
Selain itu, kata beliau, sistem amaran awal perlu dinilai semula terutama sistem yang boleh mengesan berlaku hujan lebat dan berpanjangan di negeri-negeri di pantai barat seperti yang kita alami kini.
Dalam pada itu, Pengarah Pusat Pencegahan dan Kesiapsiagaan Bencana, Institut Teknologi Antarabangsa Malaysia-Japan, Universiti Teknologi Malaysia (UTM), Dr. Khamarrul Azahari Razak berkata, dalam konteks bencana berskala besar, ekstrim dan di luar jangka, tahap respon mungkin berbeza mengikut lokasi, masa dan keperluan, justeru, ramalan dan amaran banjir perlu dipertingkatkan.

Menurut beliau, tahap kesiapsiagaan negara ketika berdepan banjir kali ini, dilihat masih terkawal dan secara keseluruhannya masih baik dengan mengambil kira jumlah 50,624 orang mangsa meliputi lapan negeri.
Bagaimanapun, beliau berkata, perubahan iklim, cuaca yang ekstrim, perubahan guna tanah dan struktur sosioekonomi menyumbang kepada peningkatan skala dan impak bencana.
Khamarrul memberitahu, persediaan sebenar harus mencangkupi tahap kesiapsiagaan berdasarkan kepada senario perubahan iklim mendatang yang mengakibatkan bencana berskala besar, menilai semula beberapa perancangan pembangunan di kawasan berisiko bencana, memperkukuhkan kapasiti pengurus bencana di peringkat negeri atau daerah dalam pengurusan risiko berskala besar.
Pada masa sama, beliau berkata, sistem risiko komunikasi (penyebaran maklumat risiko kepada penduduk) harus dikukuhkan dengan platform digital dan kerjasama kerajaan negeri membuat hebahan awam akan lokasi-lokasi risiko banjir di Selangor untuk berwaspada.
Sejak Jumaat lalu situasi di Lembah Klang terutama di Selangor bagaikan dibadai tsunami kesan banjir luar biasa apabila air di tiga sungai utama negeri itu iaitu Sungai Selangor, Sungai Klang dan Sungai Langat melimpah sehingga menenggelamkan hampir semua penempatan di sembilan daerahnya.
Kesan banjir itu menyebabkan ribuan rumah, kenderaan dan kilang-kilang terutama di Taman Sri Muda di Shah Alam ditenggelami air. Kerajaan negeri dan Pusat belum mempunyai perkiraan jumlah kerugian akibat banjir luar biasa tersebut.- UTUSAN










