Lantik PAT atau KPN urus bencana - Utusan Malaysia

Lantik PAT atau KPN urus bencana

KEADAAN banjir di Mentakab di Temerloh, Pahang sehingga menenggelamkan bandar Mentakab baru-baru ini. - FOTO SUMBER MEDIA SOSIAL
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

PETALING JAYA: Aspek pengurusan bencana di negara ini sepatutnya dilaksanakan melalui sistem ‘kawal dan perintah’ dengan melantik hanya satu agensi kerajaan yang menyelaras badan-badan lain.

Melalui inisiatif itu, tidak timbul isu kegagalan pengurusan hingga mencetuskan pertindihan bidang kuasa melibatkan Agensi Pengurusan Bencana Negara (Nadma), Majlis Keselamatan Negara (MKN), pasukan penyelamat mangsa banjir atau pun menteri.

Bercakap kepada Utusan Malaysia, Pakar Hidrologi Alam Sekitar dan Pemodelan Kualiti Air Sungai, Universiti Kebangsaan Malaysia (UKM), Prof. Datuk Dr. Mohd. Ekhwan Toriman berkata, Panglima Angkatan Tentera (PAT) atau Ketua Polis Negara (KPN) boleh dilantik sebagai ‘ketua’ mengawal selia dan memberikan arahan dalam pengurusan bencana.

Menurut beliau, kedua-dua badan itu diyakini dapat menguruskan semua kejadian luar jangka termasuk banjir kerana mahir dalam merangka strategi sebelum dan selepas bencana selain mempunyai aset lengkap di peringkat daerah, negeri dan Persekutuan.

“Sebenarnya, sistem pengurusan negara melalui beberapa agensi sudah baik cuma, ada kelompongan hingga arahan yang dikeluarkan tidak jelas. Sebab itu perlu dikenal pasti siapa yang berkuasa untuk mengawal dan memberi arahan?

“Kawal dan perintah tidak boleh datang daripada pelbagai agensi dan jika berlaku, inilah yang menyebabkan percanggahan antara negeri dan Persekutuan. Kesannya, maklumat tidak dapat disalurkan dengan betul dan rakyat merana,” katanya ketika dihubungi semalam.

Pada 21 Disember lalu, Perdana Menteri, Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob mengakui terdapat kelemahan dalam pengurusan banjir terutamanya di Selangor dan ia akan ditambah baik dari semasa ke semasa.

Mengulas lanjut, Mohd. Ekhwan berkata, dengan pemberian kuasa itu kepada pihak terbabit, menteri tidak boleh menetapkan sesuatu kawalan dan mengarahkan agensi kerajaan lain untuk mengambil tindakan selanjutnya.

“Bagaimanapun, seseorang menteri masih boleh mengulas mengenai hal berbangkit namun hanya atas kapasiti sebagai ‘menteri’ dan bukan berperanan sebagai pembuat keputusan,” katanya.

Sementara itu, Pensyarah Kanan Fakulti Sains Pentadbiran dan Pengajian Polisi, Universiti Teknologi Mara (UiTM), Mujibu Abd. Muis berkata, Nadma hanya perlu meningkatkan kecekapan dalam penyampaian maklumat dan pengurusan kecemasan.

Katanya, tidak perlu membentuk satu agensi penyelaras lain kerana Nadma sudah dipertanggungjawabkan menyelaras gerak kerja pengurusan kecemasan oleh agensi lain ATM, PDRM, bomba, Jabatan Sukarelawan Malaysia (Rela) dan Jabatan Kebajikan Masyarakat (JKM).

“Sekarang isunya bukan lagi di mana punca kuasanya, sebaliknya tindakan segera daripada pihak terlibat. Dalam hal ini, Nadma lah yang mesti bertanggungjawab, mengakui kelemahan dan tidak mengulanginya.

“Ia juga boleh diselaraskan dengan memberi kuasa kepada menteri besar supaya penambahbaikan boleh dilakukan atau dari aspek kesiapsiagaan menghadapi bencana,” katanya.- UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN