Kartel monopoli harga barang - Utusan Malaysia

Kartel monopoli harga barang

Tinjauan kenaikan harga barang di Pasar Jalan Othman, Petaling Jaya semalam. -UTUSAN/SHIDDIEQIIN ZON
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

PETALING JAYA: Bukan setakat orang tengah tetapi kartel lebih besar peranannya dalam mempengaruhi harga barang keperluan yang melambung di seluruh negara hingga mencetuskan kegelisahan rakyat.

Modus operandi kartel iaitu syarikat yang diberi kebenaran megimport, mudah iaitu mereka akan membawa masuk produk pertanian dan penternakan dari luar negara dengan harga biasa tetapi menjual semula kepada pemborong mahupun peniaga dengan harga berganda mahal.

Semakin kecoh mengenai kenaikan harga barang keperluan, kartel-kartel terus `rancak’ mengaut keuntungan susulan kelemahan rangkaian pemasaran produk pertanian dan penternakan tempatan yang sepatutnya cukup menampung permintaan dalam negara.

Bercakap kepada Utusan Malaysia, Presiden Dewan Perniagaan Melayu Malaysia (DPMM), Abdul Halim Husin berkata, antara contoh kuasa kartel ialah membabitkan harga cili kecil dan sayur-sayuran yang diimport.

Menurut beliau, kartel tidak akan mengambil produk tersebut daripada petani tempatan sebaliknya mereka lebih minat mengimport dari negara luar seperti Vietnam, Bangladesh dan China bagi memudahkan mereka memonopoli harga barang tersebut.

“Kartel akan menjual semula barang diimport kepada pemborong dan peniaga tempatan dengan harga berlipat ganda namun nasib penanam cili tempatan tidak dihirau kerana cili mereka tidak `terjual’.

“Ada kes sekilogram cili kecil naik daripada RM13 hingga RM15 kepada antara RM15 hingga RM20 tetapi cili petani kita tidak laku,” katanya.

Justeru, kata beliau, masalah harga mahal membelenggu rakyat kini dipengaruhi kartel dan orang tengah selain sistem pemasaran produk dalam negara juga lemah hingga menyebabkan hasil pertanian terbiar di ladang-ladang.

Kelmarin Perdana Menteri, Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob yang meninjau harga barang di Putrajaya berkata, terlalu banyak rantaian perniagaan dengan setiap satunya mengaut keuntungan berlebihan adalah antara punca berlaku kenaikan harga barang.
Sehubungan itu, Perdana Menteri mengarahkan kementerian berkaitan mencari jalan memerangi orang tengah bagi memastikan kenaikan harga tidak disebabkan manipulasi peniaga.

Kata Abdul Halim, sekiranya isu kartel dan orang tengah tidak ditangani segera, perbuatan itu akan merosakkan ekonomi negara kerana ia membuka ruang manipulasi sehingga membebankan rakyat berterusan.

Susulan masalah harga, menurut beliau, kerajaan terpaksa mengeluarkan sejumlah peruntukan untuk menanggung subsidi kepada rakyat bagi menampung kos sara hidup.

Sebaliknya, masalah kenaikan harga barang yang harus ditangani dengan kerajaan mengawal kewujudan kartel dan orang tengah.

“Kerajaan juga perlu menambah baik mekanisme pemasaran keluaran tempatan agar tidak mudah dibolosi geng kartel atau orang tengah yang terus membiarkan lambakan petani tempatan tidak terjual.

“Misalnya mengambil contoh orang tengah, kalau sekilogram timun dijual terus daripada petani kepada pengguna adalah RM1, namun melalui orang tengah naik antara RM5-6 sekilogram. Akhirnya yang menjadi mangsa adalah petani dan pengguna sendiri,” katanya.

Sementara itu, Pengerusi Pertubuhan Gerak Tani Negeri Johor, Datuk Mazlan Aliman berkata, semua pihak tidak boleh menuding jari kepada kartel selagi kerajaan masih tidak menambah balik mekanisme segala polisi berkaitan pertanian dan peternakan.

Menurut beliau, perkara tersebut termasuk menambah baik pangkalan data berhubung penawaran dan permintaan antara pemborong dan pembeli untuk melihat secara menyeluruh keperluan dalam kalangan rakyat sendiri.

“Pangkalan data itu penting untuk melihat keperluan mengimport produk pertanian negara luar. Jika tiada keperluan kerana hasil dalam negara ada, maka selagi itu kartel tidak boleh atau dibenarkan membawa masuk produk luar dengan alasan untuk menampung permintaan pengguna.

“Isu sekarang tidak boleh salahkan kartel 100 peratus, namun kerajaan perlu semak semula polisi sedia ada agar tiada ruang berlakunya perkara sebegini,” katanya.

Menurut Mazlan, sudah tiba masanya kerajaan untuk menambah baik polisi sedia ada khususnya menyemak semula peranan agensi kerajaan supaya mereka berkesan dalam mengawal rantaian makanan.

Katanya, akibat kelemahan rangkaian pemasaran dalam negara boleh dilihat kepada kesusahan petani yang tidak boleh memasarkan hasil tani mereka seperti pisang, keledek dan cili.

“Kita selalu kata pisang, cili, keledek mahal tetapi hakikatnya petani beritahu hasil mereka terbuang tidak laku,” kata beliau. – UTUSAN

 

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN