PETALING JAYA: Dianggarkan 15 peratus daripada 100,000 graduan kejuruteraan bekerja mengikut pengkhususan masing-masing dalam tempoh dua tahun ini manakala selebihnya di luar bidang ekoran kurang peluang pekerjaan dan gaji tidak setimpal dengan beban kerja.
Pada tahun ini Malaysia dianggarkan melahirkan kira-kira 50,000 siswazah kejuruteraan dan daripada jumlah itu hanya 6,500 hingga 7,500 yang bekerja sebagai jurutera manakala tahun 2020 pula seramai 54,000 siswazah kejuruteraan dengan 7,560 mendapat kerja.
Mereka merupakan graduan kejuruteraan dalam bidang awam, jentera, elektrik, kimia, komputer, telekomunikasi, pembuatan dan elektronik.
Bercakap kepada Utusan Malaysia, Pengerusi Pertubuhan Kebajikan dan Pembangunan Jurutera Muslim Malaysia (Minda), Ir. Muhamad Faqih Badrishah berkata, melihat kepada data tersebut kebanyakan siswazah kejuruteraan tidak mendapat tempat dalam pasaran kerja di Malaysia walaupun negara ini masih berstatus membangun.
Menurut beliau, sepatutnya sebagai negara yang bercita-cita untuk mencapai status negara maju, permintaan terhadap jurutera sewajarnya tinggi tetapi apa yang berlaku sebaliknya.
“Daripada pemerhatian dan perbincangan, lambakan sehingga 85 peratus atau 42,500 graduan bagi siswazah kejuruteraan dipengaruhi faktor gaji iaitu terlalu rendah iaitu untuk seorang bergelar jurutera iaitu sekitar RM2,000 hingga RM2,500 bagi pemegang ijazah.
“Jika tawaran gaji setakat itu, sudah tentu mereka ini akan cuba cari kerja di luar bidang tetapi menawarkan gaji hampir sama dan kerja tidak mencabar seperti kerja sebagai jurutera,” katanya ketika dihubungi semalam.
Selain itu, Muhamad Faqih berkata, peluang pekerjaan yang terhad dalam bidang itu juga menyebabkan siswazah berkenaan boleh menceburkan diri dalam ekonomi gig.
“Ekonomi gig yang sedang rancak ini tidak memilih sesiapa. Mereka yang belajar sampai tingkatan tiga pun boleh cuba nasib. Peluang dalam ekonomi gig kepada semua orang,” ujarnya.
Sehubungan itu, beliau berkata, pihaknya melihat beberapa langkah perlu diambil bagi mengelakkan kepakaran siswazah kejuruteraan sia-sia sekali gus merugikan negara dan industri.
Menurutnya, ini kerana bidang kejuruteraan masih menjadi tulang belakang dalam memacu kemajuan teknologi negara dan industri masa yang akan datang.
“Kerajaan melalui agensi dan kementerian berkaitan perlu bersatu menekankan kepentingan bidang kejuruteraan bagi mendukung pembangunan teknologi seterusnya Malaysia menjadi negara maju,” katanya.
Selain itu, Muhamad Faqih berkata, satu pasukan khas dan menganalisis persepsi isu gaji permulaan jurutera juga patut dilakukan agar sesuai dengan beban kerja dan taraf hidup setempat.
“Kerajaan melalui Lembaga Jurutera Malaysia (BEM) boleh meningkatkan penguatkuasaan Akta 138 mengenai penyalahgunaan istilah jurutera dan pelanggaran piawaian pihak berwajib dalam perkhidmatan kejuruteraan profesional di Malaysia,” jelasnya.
Katanya, sekiranya penguatkuasaan tidak dibuat dengan tegas, ia boleh merendahkan mutu kerja kejuruteraan dan mengakibatkan jurusan kejuruteraan semakin tidak diminati oleh golongan muda.
“Kementerian Pengajian Tinggi dan industri berkaitan secara bersama juga dicadang membuat penilaian semula silibus bidang kejuruteraan supaya mampan dengan perubahan masa bagi mendepani Revolusi Industri Keempat (IR4.0).
“Kerajaan perlu memberi galakan dan geran kepada graduan kejuruteraan untuk melibatkan diri dalam bidang keusahawanan berkaitan teknologi dalam bidang-bidang khusus yang memerlukan teknologi tinggi dan kolaborasi dengan universiti dan pusat penyelidikan seperti teknologi internet segala benda (IoT) dan ujian tanpa musnah (NDT).
“Kerajaan boleh merancakkan lagi kesedaran tentang polisi MySTIE iaitu polisi yang menekankan kajian dan perkembangan sains teknologi yang mempunyai nilai komersial selari dengan keperluan industri,” jelasnya.
Sementara itu, seorang pemegang Ijazah Sarjana Muda Mekanikal dan Pembuatan dari Universiti Tun Hussein Onn Malaysia (UTHM), Muhamad Afiq Hamidi, 26, berkata, bebanan kerja terlalu besar tetapi gaji rendah semasa bekerja lebih setahun di sebuah syarikat pembuatan kereta tempatan menyebabkan dia mengambil keputusan untuk berhenti.
Katanya, selain itu dia juga terpaksa bekerja dengan masa yang tidak menentu umpamanya sehingga lewat malam sama ada dalam mod bersedia atau sebaliknya.
“Jadi, saya ambil keputusan untuk fokus kepada perniagaan yang saya buat sejak belajar di UTHM lagi.
“Apabila saya jalankan perniagaan, saya usaha maka lagi saya dapat banyak, tetapi jika bekerja sebagai jurutera, kerja lah teruk sekali pun, gaji tetap sama.
“Beban bekerja sebagai jurutera juga terlalu berat dengan kerja projek terlalu banyak yang sukar untuk dikendalikan seorang diri. Masa kerja tak menentu kerana kadang kerja hingga lewat malam dan kadang itu kena bersedia sampai malam,” ujarnya.
Bagaimanapun katanya, dia tidak menganggap segala yang berlaku satu kerugian meskipun tidak lagi bekerja di bidang yang ambil itu.
“Bagi saya itu ilmu yang boleh kita manfaatkan yang tetap berguna dan diperlukan satu hari nanti,” jelasnya. – UTUSAN








