MELAKA: Semua parti politik yang bertanding dalam Pilihan Raya Negeri (PRN) Melaka sukar memperoleh majoriti bagi membentuk kerajaan berikutan saingan yang sangat sengit.
Justeru, setiap parti tidak mempunyai pilihan melainkan memilih mana-mana seteru mereka untuk mengadakan persefahaman membentuk sebuah kerajaan campuran seperti sebelum ini.
Bercakap kepada Utusan Malaysia, Pesuruhjaya Pas Melaka, Datuk Kamaruddin Sidek berkata, semua parti mengakui dalam pertembungan lebih daripada tiga penjuru, mereka tidak mampu membentuk kerajaan sendiri.
Katanya, Barisan Nasional (BN) mahupun Perikatan Nasional (PN) mungkin mampu mendapat tujuh atau lapan kerusi sahaja.
“Cuma sekarang pilihan raya ini melihat persaingan siapa paling banyak dapat kerusi dan bagaimana nak bentuk kerajaan campuran selepas itu.
“Ini impak daripada pertandingan banyak penjuru. Saya sebutkan ini berdasarkan kepada senario semasa. Yang akan buat undi penentu saya rasa orang atas pagar, bukan orang parti.
“Dan saya dengar ura-ura bahawa pengundi ini nak tengok calon dan kurang melihat parti. Saya tengok ada sentimen masyarakat ini melihat pergolakan politik yang berterusan menyebabkan mereka tidak berasa selesa dengan parti-parti politik terutama yang membabitkan lompat parti. Dia beri impak kepada parti politik terbabit, itu yang saya lihat,” katanya di sini, semalam.
Menurut Kamaruddin, isu-isu yang berlaku di peringkat Persekutuan terutamanya melibatkan pertukaran kerajaan turut meninggalkan kesan, selain mengadakan PRN dalam negara masih dalam fasa pandemik Coavid-19.
Beliau berkata, Melaka baru memasuki Fasa 4 Pelan Pemulihan Negara (PPN) dan keputusan mengadakan PRN dianggap mengejutkan dalam kalangan rakyat negeri ini.
“Yang saya agak risau ialah situasi yang akan berlaku apabila ramai pengundi tak mahu keluar mengundi. Ini semua parti kena bersedia dan ambil tahu. Ada beberapa tempat saya turun mereka tidak mahu ambil tahu sangat pasal PRN ini,” ujarnya.
Dalam pada itu, Kamaruddin berkata, beliau tidak menolak PN dan BN akan kembali bergabung membentuk kerajaan campuran di Melaka.
“Mungkin kita panas sementara tetapi selepas pilihan raya, seperti saya sebut boleh jadi bergabung balik kerajaan campuran.
“Tengok keadaan BN mungkin tidak dapat cukup kerusi. Mungkin mereka dapat tujuh atau lapan kerusi, tak boleh bentuk kerajaan sebab nak cukup kena 15. Jadi PN pun mungkin dapat tujuh atau lapan kerusi sahaja,” katanya.
Bagaimanapun, penganalisis politik dari Universiti Utara Malaysia (UUM), Prof. Madya Dr. Rusdi Omar berkata, BN mempunyai peluang menang sekurang-kurangnya 15 atau 16 kerusi dalam PRN Melaka, sekali gus memperoleh majoriti mudah membentuk kerajaan.
Katanya, pilihan raya itu dijangka masih tertumpu kepada saingan sengit antara BN dan Pakatan Harapan.
Katanya, peluang PN dan calon-calon Bebas sangat tipis dan berkemungkinan besar hilang wang deposit termasuk Datuk Norhizam Hassan Baktee di kerusi Dewan Undangan Negeri (DUN) Pengkalan Batu.
“Semasa PRU-14, ketika UMNO dihimpit pelbagai isu seperti 1Malaysia Development Berhad (1MDB) dan sebagainya masih lagi mampu memang 13 kerusi. PRN kali dengan tidak ada banyak isu, mereka mampu menang lebih banyak kerusi dengan sekurang-kurangnya memperoleh majoriti mudah membentuk kerajaan,” katanya.
Mengulas lanjut, Rusdi berkata, PH pula mampu menang di sekurang-kurang 10 kerusi terutama di kawasan bandar atau kawasan campuran dengan majoriti pengundi Cina lebih 40 peratus.
Dalam nada yang sama, pensyarah kanan Pusat Sains Liberal Universiti Malaysia Perlis (Unimap), Dr. Siti Norayu Mohd. Basir pula berkata, kelebihan pastinya kepada BN kerana sejak dulu Melaka menjadi negeri yang sinonim dengan kerajaan BN.
Katanya, kekalahan kepada PH pada PRU-14 pastinya menjadi ‘teguran’ untuk BN melakukan sehabis baik dalam PRN Melaka.
“BN dan PH dilihat sebagai pemain utama dan mempunyai kelebihan sama rata dalam PRN Melaka. Manakala PN dan calon Bebas akan menjadi pilihan kelompok pengundi kecil.
“Namun, kita perlu beri perhatian kepada swing voter iaitu pengundi yang tidak cenderung kepada satu parti sahaja,” katanya.
Sebanyak 112 calon bertanding merebut 28 kerusi Dewan Undangan Negeri (DUN) Melaka.
Daripada jumlah itu, BN bertanding di 28 kerusi, manakala Pas di lapan kerusi manakala sekutunya Bersatu, dalam PN bertanding di 15 kerusi, Gerakan lima.
Parti Keadilan Rakyat (PKR) mempertaruhkan 11 calon, DAP lapan manakala Amanah sembilan pada PRN Melaka. – UTUSAN










