PETALING JAYA: MR D.I.Y Group (M) Berhad (MR D.I.Y) dengan kerjasama Majlis Perbandaran hulu Selangor (MPHS) telah menjalankan pembersihan secara besar-besaran di Sungai Kedondong, Selangor.
Aktiviti selama dua jam itu melibatkan 80 sukarelawan membersihkan sisa di sungai selain mencantikkan infrastruktur di kawasan rekreasi tersebut.
Beberapa papan tanda juga telah dipasang oleh MR D.I.Y dan MPHS sebagai peringatan kepada pengunjung untuk menjaga kebersihan kawasan itu.
Selain MR D.I.Y dan MPHS, sukarelawan terdiri daripada kakitangan Jabatan Perhutanan, Jabatan Saliran dan Pengairan Selangor, Jabatan Kemajuan Orang Asli (JAKOA), Jabatan Pertahanan Awam Malaysia (JPAM) serta masyarakat Orang Asli Kampung Songkok.
Pengerusi Kumpulan MR D.I.Y, Datuk Azlam Shah Alias berkata, sebagai peruncit tempatan, MR D.I.Y mahu menyokong majlis tempatan dan perniagaan memandangkan ia sudah boleh dibuka sekarang.
“Kami gembira kerana dapat bekerjasama dengan MPHS untuk menganjurkan kerja pembersihan itu, bagi memastikan kawasan tersebut bersih selain memberi peringatan kepada pengunjung untuk menjaga kawasan tersebut.
“Itu adalah salah satu cara kami menyokong Malaysia dan rakyatnya dalam norma baharu ini. Tahniah kepada semua sukarelawan yang turut serta membantu melakukan kerja pembersihan itu,” katanya dalam kenyataan.
Sementara itu, Yang Dipertua MPHS, Mohd. Hasry Nor Mohd. A.M.S berkata, MPHS gembira dengan sokongan yang diterima daripada MR D.I.Y sejak pembukaan semula aktiviti pelancongan.
Ujarnya, tempat rekreasi di Hulu Selangor telah menarik ramai pengunjung pada hujung minggu termasuk Sungai Kedondong.
“Bagaimanapun, itu juga membawa masalah pembuangan sampah dan ia telah menyusahkan pengunjung lain.
“Dalam jangka panjang, kami berharap orang ramai akan berkongsi tanggungjawab menjaga kebersihan di Sungai Kedondong supaya usaha sukarelawan kami berbaloi.
“MPHS turut komited menjadikan Hulu Selangor sebagai bandar rendah karbon menjelang 2030 dengan melaksanakan amalan lestari,” katanya. – UTUSAN










