SPRM tidak bertolak ansur terhadap pegawai, anggota terbabit salah laku, jenayah - Utusan Malaysia

SPRM tidak bertolak ansur terhadap pegawai, anggota terbabit salah laku, jenayah

AHMAD Said ketika sesi wawancara khas berhubung isu integriti dalam SPRM di Ibu Pejabat SPRM, Putrajaya. - UTUSAN/FAISOL MUSTAFA
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

PUTRAJAYA: Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) tidak akan berkompromi dan bertolak ansur terhadap mana-mana pegawainya yang terbabit dalam sebarang salah laku dan jenayah.

Buktinya, 13 orang pegawainya dikenakan tindakan buang kerja bagi tempoh antara 2016 hingga Oktober tahun ini.

Perkara itu disahkan Pengerusi Jawatankuasa Aduan (JKA) SPRM Datuk Ahmad Said menerusi sesi wawancara khas bersama media di sini, hari ini.

Memuatkan artikel berkaitan…

Ahmad berkata, tindakan itu diambil atas pelbagai kesalahan termasuk salah laku, salah guna kuasa, kecuaian, tidak hadir bertugas dan terbabit dalam aktiviti jenayah.

Beliau berkata, secara keseluruhan, 63 warga SPRM disiasat sepanjang tempoh lima tahun itu dan 13 daripadanya dikenakan tindakan buang kerja manakala, selebihnya pula diberikan amaran dan denda.

“Kes yang dikesan ini membabitkan dua peringkat pegawai iaitu kumpulan pengurusan dan kumpulan pelaksana,” katanya.

Katanya, kes salah laku membabitkan warga SPRM ini masih dianggap rendah jika hendak dibandingkan dengan keseluruhan 2,700 warganya di seluruh negara.

Pada masa sama, Ahmad berkata, pihaknya akui kebelakangan ini timbul beberapa kes salah laku membabitkan pegawai SPRM sekali gus menimbulkan persepsi negatif dalam kalangan masyarakat.

Katanya, pihaknya sedia maklum bahawa kes-kes ini masih dalam siasatan dan sabitannya pula belum lagi dibuktikan.

“Kes sebegini pastinya mengundang persepsi negatif terhadap organisasi secara keseluruhannya walaupun hanya segelintir sahaja yang terlibat.

“Sebagai Pengerusi JKA, saya memandang serius perkembangan negatif ini. Saya memberi jaminan bahawa isu seumpama ini tidak akan terlepas dan pasti ada tindakan sekiranya ia benar dan terbukti berlaku.

Katanya, beliau juga mahu SPRM memperhalusi program-program integriti sedia ada dan menguji keberkesanannya dari semasa ke semasa sekali gus menutup segala peluang rasuah dan salah laku dalam kalangan warganya.

Jelasnya, semua warga SPRM harus sedar bahawa mereka perlu sentiasa mendukung prinsip-prinsip integriti. -UTUSAN ONLINE

 

 

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

Terkini