Sembilan bayi dibuang sebulan - Utusan Malaysia

Sembilan bayi dibuang sebulan

KES buang bayi dalam kalangan rakyat masih berlaku. - Gambar Media Sosial
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

PETALING JAYA: Sekurang-ku­rangnya purata sembilan kes buang bayi dilaporkan berlaku dalam sebulan sama ada ditemukan hidup atau mati sejak 2018 hingga September lalu.

Berdasarkan statistik direkodkan Polis Diraja Malaysia (PDRM), sebanyak 424 kes buang bayi dicatatkan di seluruh negara untuk tempoh tersebut.

Malah, lebih menyedihkan, si pelaku jenayah itu kebanya­kannya adalah ibu kandung ba­yi tersebut dan kenalan yang bersubahat.

SITI KAMSIAH HASSAN

Mendedahkan kepada Utusan Malaysia, Ketua Penolong Pengarah Bahagian Siasatan Jenayah Seksual, Wanita dan Kanak-kanak Bukit Aman (D11), Jabatan Siasatan Jenayah Bukit Aman, Asisten Komisioner Siti Kamsiah Hassan berkata, sebanyak 283 bayi yang dibuang ditemukan mati manakala 141 lagi dijumpai dalam keadaan hidup.

Katanya, untuk tempoh ter­sebut, kira-kira 285 bayi yang dibuang ketika baru dilahirkan manakala 139 lagi dalam bentuk janin.

“Berdasarkan siasatan pihak polis, kebanyakan lokasi bayi dibuang adalah di kawasan rumah iaitu 166 kes selain di masjid, tepi bangunan dan semak.

“Lebih menyedihkan, ada bayi yang ditemukan dalam tandas, longkang, tempat buang sampah malah ada di tanah perkuburan,” ketika dihubungi di sini semalam.

Dalam pada itu, Siti Kamsiah memberitahu, kira-kira 165 suspek adalah ibu kandung bayi manakala 59 pula teman lelaki si ibu.

Bagaimanapun, ujar beliau, sebanyak 236 kes melibatkan suspek tidak diketahui kerana tidak dapat dikenal pasti.

“Kebanyakan kes tidak diketahui identiti mangsa kerana tiada sebarang pengenalan atau dokumen ditemui semasa bayi tersebut ditemui. Namun ada sebilangan kecil yang meninggalkan nota supaya menjaga bayi yang ditinggalkan atau menguruskan mayat bayi.

“Selain itu, ada juga kes yang mana suspek mendakwa jumpa bayi di suatu lokasi walhal sebenarnya bayi tersebut hasil hubungan dengan teman wanitanya,” kata beliau.

Menurut Siti Kamsiah, hampir 30 peratus suspek adalah mereka berusia antara 18 hingga 25 tahun iaitu 146 kes manakala 50 peratus lagi adalah tidak diketahui.

Jelasnya, selain itu, sebanyak 26 kes melibatkan mereka berusia 18 tahun ke bawah dan 70 suspek berusia 25 tahun ke atas.

“Kebanyakan suspek ini kita dapati telah bekerja dan tinggal berasingan daripada keluarga.

“Jadi, apabila menjalinkan hubungan sehingga terlanjur dan mengandung, mereka jadi takut lalu bertindak sedemi­kian.

“Ibu bapa memainkan peranan penting, mereka perlu sentiasa ambil tahu terhadap anak-anak sama ada lelaki atau perempuan agar tidak berlakunya kes seumpama ini,” kata­nya. – UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

×