Bajet 2022: Percepat pemulihan ekonomi - Utusan Malaysia

Bajet 2022: Percepat pemulihan ekonomi

Perdana Menteri, Datuk Seri Ismail Sabri diiringi Menteri Kewangan, Datuk Seri Tengku Zafrul Tengku Abdul Aziz di Bangunan Parlimen sebelum pembentangan Bajet 2022 semalam. IHSAN JABATAN PENERANGAN MALAYSIA
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

PETALING JAYA: Kerajaan membentangkan bajet lebih besar yang bertujuan mempercepatkan pemulihan ekonomi negara serta membantu golongan terkesan dengan berbilion ringgit diperuntukkan bagi sektor kesihatan dan pendidikan, selain meneruskan pemberian bantuan langsung.

Menteri Kewangan, Tengku Datuk Seri Zafrul Tengku Abdul Aziz juga meningkatkan peruntukan kepada kementerian-kementerian utama, menjanjikan bantuan kepada keluarga, individu dan perniagaan terkesan selain optimistik ekonomi negara akan berkembang lebih pantas pasca-Covid-19.

Dalam bajet bernilai RM332.1 bilion, terbesar dalam sejarah negara, Tengku Zafrul berkata, tumpuan kerajaan adalah untuk memulihkan semula setiap segmen sosioekonomi negara, membina daya tahan bagi mengukuhkan keupayaan perniagaan dan sistem kesihatan dalam mendepani cabaran mendatang.

Untuk itu katanya, kerajaan memperuntukkan RM233.5 bilion bagi belanja mengurus, RM75.6 bilion untuk pembangunan dan RM23 bilion di bawah Kumpulan Wang Covid-19.

“Sejumlah RM2 bilion turut disediakan sebagai simpanan luar jangka. Sungguhpun ini merupakan bajet me­ngembang, defisit fiskal 2022 diunjur berkurang kepada enam peratus daripada Keluaran Dalam Negara Kasar (KDNK) berbanding 6.5 peratus pada 2021,” kata beliau ketika membentangkan Bajet 2022, semalam.

Bajet 2022 dirangka berdasarkan harga minyak dunia AS$65 (RM269.04) setong.

Dalam pembentangan selama dua jam, Tengku Zafrul berkata ekonomi Malaysia susut ke paras kedua terburuk sejak 1998 tahun lalu, penguncupan 5.6 peratus akibat pandemik Covid-19.

Beliau bagaimanapun optimis ekonomi Malaysia pulih tahun ini dengan pertumbuhan antara tiga hingga empat peratus dengan hampir seluruh negara beralih ke fasa empat dan semua sektor ekonomi dan sosial dibenarkan beroperasi sepenuhnya.

Tengku Zafrul percaya, dengan suntikan daripada Bajet 2022 dan pemulihan dalam semua sektor utama negara, ekonomi Malaysia akan berkembang an­tara 5.5 hingga 6.5 peratus tahun depan.

“Namun, prestasi ini turut bergantung kepada faktor-faktor lain, antaranya kejayaan mengawal pandemik, keberkesanan pelaksanaan program vaksinasi serta keteguhan prospek ekonomi dan perdagangan dunia,” katanya.

Bajet 2022 bertemakan ‘Keluarga Malaysia, Makmur Sejahtera’ memfokuskan kepada tiga tunjang iaitu Rakyat Sejahtera, Perniagaan Yang Berdaya Tahan dan Ekonomi yang makmur dan mampan.

Ini kali kedua Tengku Zafrul membentangkan bajet negara ketika negara cuba keluar dari krisis ekonomi ekonomi dan sosial berikutan pandemik Covid-19 yang meragut lebih 28,000 nyawa.

Walaupun Malaysia hampir memasuki fasa endemik, kera­jaan masih menyalurkan sebanyak RM2,000 kepada lebih 9.6 juta penerima membabitkan peruntukan RM8.2 bilion dalam Bajet 2022 menerusi program Bantuan Keluarga Malaysia (BKM).

Kerajaan turut memperun­tuk­kan RM25 juta kepada Ya­yasan Keluarga Malaysia bagi membantu anak-anak yatim termasuk 4,700 kanak-kanak yang kehilangan ibu bapa akibat Covid-19.

“Kerajaan akan terus mengutamakan aspek kesihatan awam dengan menyediakan peruntukan sebanyak RM32.4 bilion kepada Kementerian Ke­si­hatan bagi membolehkan ne­gara membina daya ta­han menghadapi fasa endemik Covid-19, selain memperkasa Program Imunisasi Covid-19 Kebangsaan,” kata Tengku Zafrul.

Seperti dijangkakan, Kementerian Pendidikan menerima peruntukan terbesar berjumlah RM52.6 bilion, sementara Kementerian Pengajian Tinggi pula diperuntukkan RM14.5 bi­lion. Kerajaan buat kali pertama menyediakan Insentif Khas Alat Bantuan Mengajar sekali bayar sebanyak RM100 kepada lebih 400,000 guru-guru.

Sebahagian peruntukan sosial Bajet 2022 membabitkan peningkatan pencen minimum Skim Keilatan daripada RM475 kepada RM550, RM31 bilion untuk subsidi, bantuan dan insentif untuk meminimumkan kesan peningkatan kos sara dan RM1.5 bilion bagi pemilikan rumah.

“Kerajaan juga akan menambah baik infrastruktur luar bandar dengan peruntukan lebih RM2.5 bilion untuk melaksanakan projek-projek bagi mengurangkan jurang pemba­ngunan antara wilayah,” katanya.

Untuk sektor perniagaan yang terkesan teruk kerana pandemi, kerajaan menyediakan pakej pembiayaan berjumlah RM40 bilion di bawah Program Semarak Niaga Keluarga Malaysia dan dana khas pelaburan strategik sehingga RM2 bilion.

Tengku Zafrul juga mengumumkan berita gembira bagi pembeli kenderaan elektrik (EV) dengan pengecualian cukai jalan sehingga 100 peratus, pemansuhan cukai eksais, duti import dan jualan. – UTUSAN

 

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN