KLANG: Siapa sangka sebuah pulau yang tiada daratan sebaliknya hanya dilitupi lumpur dan hutan paya bakau apabila air laut surut boleh dijadikan sebuah penempatan sekumpulan masyarakat dan pernah mencecah puluhan ribu orang.
Itulah Pulau Ketam, suatu ketika dahulu ditemukan sekumpulan kecil pendatang dari China berketurunan Hainan melalui Pelabuhan Klang sekitar lewat abad ke-19 yang membina penempatan di situ kerana kaya dengan hidupan laut, iaitu ketam.
Bagaimanapun saban tahun penduduk di situ semakin bertambah dan ketika Perang Dunia Kedua, pulau itu menjadi tempat berlindung bagi masyarakat Cina yang melarikan diri daripada kekejaman tentera Jepun.

Kisah itu dikongsikan Setiausaha Majlis Pengurusan Komuniti Kampung (MPKK) Pulau Ketam, Chua Meng Jeck yang menceritakan bagaimana penempatan itu boleh berkembang dan pernah mencecah lebih 20,000 penduduk di pulau berkeluasan kira-kira 23,000 kaki persegi berkenaan.
“Asalnya permulaan penempatan di Pulau Ketam adalah untuk cari makan oleh komuniti Hainan yang sinonim dengan kerja mencari hasil laut. Kemudian tahun demi tahun tiba pula komuniti dari suku Hokkien dan Teo Chew.
“Memang yang datang ke sini semuanya adalah masyarakat China dan populasi semakin bertambah ketika Perang Dunia Kedua yang dalam masa sama Jepun menyerang Tanah Melayu pada 1940 hingga 1942,” katanya kepada Utusan Malaysia.
Beliau menambah, ketika itu Pulau Ketam menjadi tempat selamat bagi penduduk melarikan diri dari perang, malah selain Semenanjung Tanah Melayu masyarakat di situ turut lari dari China dan Singapura.
Bagaimanapun, hanya itu catatan sejarah yang dapat dikongsikan apabila tiada rekod atau gambar berkenaan kependudukan, aktiviti perdagangan dan sosial disimpan yang boleh menunjukkan peristiwa penting.
“Berdasarkan cerita orang terdahulu yang sampai lebih awal, itulah yang berlaku. Namun yang paling diingati adalah penempatan ini menjadi tempat berlindung daripada perang.
“Satu lagi peristiwa yang terpahat di fikiran kami adalah peristiwa kebakaran pada April 1972 yang memusnahkan hampir 100 bangunan termasuk rumah dan premis perniagaan. Ketika itu juga lebih 1,000 orang hilang tempat tinggal. Tragedi itu menyebabkan struktur perumahan di sini mengalami perubahan besar,” jelasnya.
Di samping itu, kata Meng Jack lagi, penduduk di Pulau Ketam amat menghargai kemerdekaan yang dikecapi negara sehinggakan wujud sebatang jalan dari jeti menuju ke pekan yang dinamakan sebagai Jalan Merdeka. – UTUSAN ONLINE











