Perluas Akta SPRM ke sektor awam - Utusan Malaysia

Perluas Akta SPRM ke sektor awam

JAIS ABDUL KARIM
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

PETALING JAYA: Seksyen 17A Akta Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) yang memberikan ruang kepada pe­ngurusan organisasi komersial didakwa perlu diperluaskan ke sektor perkhidmatan awam.

Bercakap kepada Utusan Malaysia, Presiden Pemerhati Ra­suah Malaysia (MCW), Jais Abdul Karim berkata, undang-undang tersebut buat masa ini hanya melibatkan liabiliti korporat sahaja berbanding penjawat kerajaan.

Beliau menjelaskan mengikut peruntukan berkenaan, orga­nisasi komersial boleh didakwa dan dihukum sekiranya membenarkan pegawai atau kakitangan mereka melakukan rasuah untuk memperoleh sesuatu projek atau mendapat apa-apa faedah.

“Maka undang-undang ini perlu diperluas kepada perkhidmatan awam. Ini bermakna jika seorang kakitangan awam terlibat rasuah, maka pihak pengurusan seperti ketua cawangan, ketua unit atau ketua platun perlu menghadapi nasib masa.

“Sekarang peruntukan Sek­syen 17A hanya melibatkan sektor korporat dan wajar diperluaskan membabitkan perkhidmatan kerajaan jika mahu bebas menangani amalan salah guna dan rasuah dalam perkhidmatan awam,” katanya.

Sebelum ini, timbul kontroversi membabitkan tangkapan tiga pegawai SPRM bagi membantu siasatan berhubung kecurian wang tunai milik seorang individu yang disiasat kerana menyalahgunakan kuasa dan penyelewengan dana pada 2018.

Wang tunai itu didakwa dirampas oleh SPRM di sebuah kondominium di Cyberjaya.

Individu disiasat terbabit dilepas tanpa bebas oleh mahkamah pada April tahun lalu dan ketika mahu menuntut semula wang tunai yang dirampas SPRM, dia terkejut kerana sebahagian daripada wang tersebut didapati wang palsu.

Kelmarin, salah seorang pegawai SPRM berkenaan ditangkap Polis Diraja Malaysia (PDRM) ke­rana memiliki dadah serta senjata api dan peluru pada Isnin lalu.

Ketika mengulas kewajaran Ketua Pesuruhjaya SPRM, Datuk Seri Azam Baki direhatkan daripada menjalankan tugas, Jais berpandangan, perkara itu tidak wajar kerana suruhanjaya telah pun memberikan komitmen penuh berhubung siasatan berkenaan.

Katanya, malah ia kes terpencil melibatkan segelintir anggota SPRM.

“SPRM mempunyai 3,000 anggota, jika semua disiasat maka 3,000 kali Ketua Pesuruhjaya kena bercuti. Bukan sahaja melibatkan SPRM, malah melibatkan seluruh agensi penguatkuasaan lain seperti polis, Jabatan Imigresen dan Jabatan Kastam,” katanya.

Sementara itu, Presiden Persatuan Pemeriksaan Penipuan Bertauliah Malaysia, Datuk Seri Akhbar Satar memaklumkan, masih terlalu awal untuk me­ngulas berhubung isu membabitkan SPRM kerana ia masih dalam siasatan.

“Polis sedang siasatan perkara ini, jadi kena bagi ruang kepada mereka untuk menjalankan siasatan,” katanya. – UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN