SHAH ALAM: Kerajaan Selangor dijangka membincangkan isu penyahwartaan 536.7 hektar kawasan Hutan Simpan Kuala Langat Utara (HSKLU) dalam mesyuarat Majlis Mesyuarat Kerajaan Negeri pada Rabu ini.
Kepemimpinan Pakatan Harapan (PH) Selangor dalam satu kenyataan berkata, mereka meminta kepemimpinan kerajaan negeri berbuat demikian setelah mengadakan mesyuarat semalam.
“Semua kepemimpinan PH Selangor telah memberikan pandangan masing-masing mengenai penyahwartaan HSKLU.
“Jadi kami ambil keputusan meminta semua Exco Selangor buat pertimbangan serta jelaskan hala tuju isu terbabit dalam Majlis Mesyuarat Kerajaan Negeri pada 8 September ini,” katanya semalam.
Isnin lalu, Pengerusi Jawatankuasa Tetap Pelancongan, Alam Sekitar, Teknologi Hijau dan Hal Ehwal Orang Asli Selangor, Hee Loy Sian ketika sesi pergulunggan Mesyuarat Pertama Penggal Keempat Persidangan Dewan Negeri Selangor ke-14 memaklumkan Kerajaan negeri telah meluluskan penyahwartaan HSKLU pada 19 Mei lalu.
Namun menurutnya, kerajaan negeri telah menggantikan HSKLU dengan mewartakan beberapa kawasan hutan seluas 581.48 hektar di sekitar Selangor.
Selain penyahwartaan HSKLU, PH Selangor turut membincangkan isu bantahan cadangan pembinaan Lebuh Raya Petaling Jaya Dispersal Link (PJD Link).
Menurut beliau, pihaknya mengambil maklum bahawa kerajaan Selangor belum meluluskan cadangan membina lebuh raya terbabit.
“Mesyuarat juga bersetuju menolak sebarang usaha untuk menghidupkan semula projek Lebuh Raya KIDEX atau seumpama dengannya.
“Pengerusi parti dalam komponen PH komited menjunjung segala prinsip pakatan ini yang peduli terhadap alam sekitar serta isu berkaitan rakyat,” tegasnya. – UTUSAN











