KLANG: Perang Dunia Kedua dan kekejaman tentera Jepun paling diingati sekumpulan penduduk di Pulau Ketam, di sini yang pernah melalui zaman itu menyebabkan mereka berpindah ke kawasan berkenaan.
Pulau itu agak terpencil kerana terletak kira-kira 55 kilometer dari Pelabuhan Klang dan hanya boleh diakses menggunakan bot dan perlu merentasi Pulau Klang yang tidak berpenghuni.
Keadaan itu menyebabkan Pulau Ketam menjadi pilihan masyarakat Cina yang diketahui umum menjadi sasaran kekejaman tentera Jepun dan mempunyai sejarah mereka tersendiri sama ada di China ataupun di Tanah Melayu sebelum Perang Dunia Kedua lagi.
Hal demikian menyebabkan seorang antara penduduk terawal di sana, Chia Min Kwan, 96, masih mengingati bagaimana dua anggota tentera Jepun ditugaskan membuat kawalan di Pulau Ketam ketika penjajahan negara matahari terbit itu sekitar 1939 hingga 1942.
Dia tiba dari China bersama ibu bapa dan ahli keluarganya ketika berusia 12 tahun semata-mata untuk lari menyelamatkan diri daripada menjadi mangsa dalam Perang Dunia Kedua.
“Saya sudah tinggal di sini selama 84 tahun. Masa itu baru berusia 12 tahun, empat tahun kemudian saya berkahwin yang juga merupakan penduduk di sini. Sebelum berpindah, ayah pernah datang dan mencari rezeki di sini.
“Kemudian dia pulang ke China dan cakap Pulau Ketam adalah tempat yang selamat dan jauh daripada perang. Sebab itu ayah bawa ibu dan ahli keluarga lain tinggal di sini sehinggalah sekarang.
“Mula-mula ingatkan selamat, sekali ketika Jepun menjajah Tanah Melayu, ada dua anggota tentera negara itu bersilih ganti mengawal Pulau Ketam untuk memastikan tiada gerakan daripada masyarakat Cina menentang mereka. Setiap hari mereka meronda.
“Semua orang tahu macam mana kekejaman tentera Jepun. Tetapi, mujur ketika itu tiada perkara yang tak baik berlaku. Tiada perang atau pembunuhan berlaku di Pulau Ketam masa Perang Dunia Ke-2. Bersyukur sangat,” katanya ketika ditemui Utusan Malaysia di rumahnya.
Min Kwan menambah, walaupun dia dan majoriti penduduk bukan berasal dari sini, namun mereka sangat menghargai keamanan dan kemerdekaan yang dikecapi negara sehingga hari ini.
“Dahulu saya ada jual belacan warisan keluarga, dibuat sendiri menggunakan hasil laut yang diperoleh daripada nelayan tempatan.
“Kemudian, bila usia sudah meningkat, saya sudah tak kuat, isteri sudah meninggal dunia dan anak-anak pula tinggal di bandar raya. Sekarang saya berniaga menjual ubat tradisional masyarakat Cina,” kongsinya. – UTUSAN ONLINE











