KUALA LANGAT: Penerokaan Hutan Simpan Kuala Langat Utara (HSKLU) untuk pembangunan mengancam pelbagai spesies haiwan dan tumbuhan yang menjadi khazanah rimba itu.
Pada masa ini hutan simpan tersebut masih menjadi habitat beberapa spesies haiwan liar yang unik antaranya dilindungi undang-undang seperti beruang matahari, tupai terbang dan ikan laga langat merah (Betta Livida) yang didakwa hanya terdapat di kawasan berkenaan.
Tumbuhan liar seperti kempas, petaling dan meranti turut wujud walaupun hutan simpan tersebut dikategorikan hutan terosot dan dihimpit pembangunan di sekelilingnya seperti Cyberjaya, Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur (KLIA) dan Putrajaya.
Tinjauan Utusan Malaysia ke HSKLU, semalam turut menemukan spesies pokok yang jarang ditemui seperti manggis hutan, terap, buluh betung dan atap bertam yang mempunyai nilai yang tinggi dalam khazanah flora di negara ini.
Malah, komuniti Orang Asli dari Suku Temuan yang tinggal di kawasan berkenaan juga bimbang tentang nasib mereka yang bergantung kepada sumber hutan untuk mencari rezeki.
Bercakap kepada Utusan Malaysia, Pengerusi Jawatankuasa Kampung Orang Asli Busut Baru, Samsul Senin berkata, semua hidupan unik masih terdapat dalam hutan simpan berkenaan dan memerlukan habitat yang luas, sekiranya diancam akan mengganggu penduduk berhampiran.
“Haiwan liar dalam hutan perlu habitat yang luas dan jauh dari penempatan manusia. Bila habitat mereka diganggu dengan aktiviti pembersihan dan pembangunan, haiwan liar akan mula masuk ke kawasan kampung untuk mencari makan. Itu sememangnya akan mengganggu penduduk.
“Malah, jika kawasan hutan yang sudah pun semakin sempit itu terus diancam dengan pembangunan, sudah pasti hidupan di dalamnya berhadapan kepupusan,” katanya di sini, semalam.
Difahamkan Hutan Simpan Kuala Langat Utara diiktiraf sebagai hutan terosot oleh Jabatan Perhutanan Negeri Selangor selepas beberapa kali terbakar sejak 2012.
Malah, pemberian status hutan terosot disebabkan kawasan itu tidak lagi mempunyai pokok balak yang besar serta terhimpit dengan pembangunan di sekelilingnya.
Tinjauan Utusan Malaysia bersama Pertubuhan Alam Sekitar Sejahtera Malaysia (Grass) dan komuniti Orang Asli Suku Temuan di Kampung Busut Baru turut mendapati terdapat pelbagai spesies haiwan dan pokok yang besar di dalam hutan berkenaan.
Hutan Simpan Kuala Langat Utara mendapat perhatian media apabila Exco Pelancongan dan Alam Sekitar, Hee Loy Sian memaklumkan Mesyuarat Kerajaan Negeri Selangor pada Mei lalu meluluskan penyahwartaan seluas kira-kira 536.7 hektar daripada baki kawasan 991.90 hektar untuk dibangunkan.
Bagaimanapun, Pengarah Perhutanan Selangor, Datuk Ahmad Fadzil Abd Majid dalam satu kenyataan semalam memaklumkan Menteri Besar, Datuk Seri Amirudin Shari menangguhkan penyahwartaan hutan berkenaan.
Dalam pada itu, Samsul turut meluahkan kekecewaan terhadap kerajaan negeri yang mahu membenarkan pembangunan di situ tanpa mengambil kira nasib Orang Asli Suku Temuan yang tinggal di sana.
“Lemah longlai kami mendengar berita tentang penyahwartaan yang hendak dibuat oleh kerajaan. Lebih-lebih lagi dalam keadaan wabak pandemik, hutan simpan sumber makanan untuk kami.
“Hutan umpama keluarga untuk masyarakat Orang Asli. Dalam hutanlah ada makanan kami, selain itu dari situ jugalah ada kebudayaan dan keagamaan untuk Orang Asli, memang tak boleh dipisahkan,” ujarnya.
Sementara itu, Presiden Pertubuhan Alam Sekitar Sejahtera Malaysia (Grass Malaysia), Mohd Yusaimi Md. Yusof berkata, penyahwartaan HSKLU perlu melalui perbahasan dalam sidang Dewan Undangan Negeri (DUN) bagi memastikan kerajaan negeri tidak sewenang-wenangnya meluluskan keputusan yang tidak memberi manfaat kepada rakyat khususnya penduduk setempat.
Katanya, pelbagai faktor perlu diambil kira dalam perbahasan termasuklah pemulihan semula hutan berkenaan walaupun sudah beberapa kali terbakar.
“Sebelum ini baki hutan simpan yang terdapat di Selangor berada pada kadar 30 peratus. Justeru pembersihan atau penyahwartaan perlu dibahaskan dalam DUN kerana perlu melihat adakah penduduk tempatan akan mendapat manfaat.
“Selain itu, ekosistem juga perlu diambil kira kerana tidak mustahil masalah gangguan bekalan air di Selangor terganggu lagi apabila hutan yang menjadi tadahan antara sumber air di Sungai Langat bakal dibersihkan,” katanya.
Beliau menambah, asal keluasan HSKLU adalah sangat besar meliputi kawasan yang dibangunkan seperti Putrajaya, Cyberjaya, Bandar Saujana Putra, Rimbayu dan Gamuda Cove.
Hutan berkenaan yang menjadi kawasan tadahan air di sana merupakan antara sumber kepada Sungai Langat yang membekalkan keperluan air kepada sebilangan besar penduduk di sekitar Lembah Klang termasuk Putrajaya dan Sepang.
Katanya, penyahwartaan itu dibuat berdasarkan Seksyen 12 Akta Perhutanan Negara 1984.
Dalam pada itu, Mohd. Yusaimi mendakwa, tindakan penyahwartaan kepada HSKLU adalah bertentangan dengan pengambilalihan semula Hutan Simpan Kuala Langat Selatan (HKLS) yang sebelum ini diteroka bagi tujuan pertanian.
“HKLS dilindungi apabila diceroboh sedangkan penyahwartaan HSKLU pula hendak diteruskan. Walaupun hutan berkenaan pernah terbakar, namun Jabatan Perhutanan sebenarnya boleh melaksanakan penanaman semula pokok hutan. – UTUSAN










