Gadis 21 tahun hilang RM32,400 ditipu `LHDN’ - Utusan Malaysia

Gadis 21 tahun hilang RM32,400 ditipu `LHDN’

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

KEPALA BATAS: Seorang wanita di sini kerugian RM32,400 selepas menjadi mangsa penipuan sindiket Macau Scam semalam. 

Pekerja swasta berusia 21 tahun itu mula terjerat dengan penipuan  tersebut selepas menerima panggilan telefon daripada individu kononnya pegawai Lembaga Hasil Dalam Negeri (LHDN). 

Ketua Polis Daerah Seberang Perai Utara, Asisten Komisioner Noorzainy Mohd. Noor berkata, mangsa dimaklumkan terdapat syarikat yang didaftarkan atas namanya mempunyai tunggakan cukai sebanyak RM17,600. 

Menurut beliau, mangsa yang menafikan perkara itu kemudian disambungkan kepada seorang individu lain yang mendakwa pegawai polis di Ibu Pejabat Polis Daerah Alor Setar, Kedah. 

“Individu itu pula mendakwa akaun bank mangsa terlibat dengan kes pengubahan wang haram yang mana akaunnya akan dibekukan untuk siasatan lanjut. 

“Mangsa yang panik telah mengikut arahan untuk tidak memaklumkan kepada sesiapa selain telah menyerahkan maklumat perbankan dan kod pengesahan transaksi (TAC) seperti diminta pemanggil berkenaan,” katanya kepada pemberita di sini hari ini. 

Noorzainy berkata, sejurus menyerahkan nombor TAC, mangsa menerima notifikasi daripada pihak bank memaklumkan wang di dalam akaunnya sebanyak RM32,400 telah dipindahkan ke akaun bank lain. 

“Mangsa mengesyaki dia telah ditipu selepas gagal menghubungi semula individu berkenaan sebelum tampil membuat laporan polis,” katanya. – UTUSAN 

 

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

Teruskan membaca

Nikmati akses tanpa had serendah RM9.90 sebulan

Sudah melanggan? Log Masuk untuk membaca berita sepenuhnya