Pesara guru rugi lebih RM500,000 diperdaya scammer - Utusan Malaysia

Pesara guru rugi lebih RM500,000 diperdaya scammer

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

IPOH: Seorang pesara guru wanita berputih mata apabila wang pencen dan simpanan berjumlah lebih RM500,000 lesap selepas menjadi mangsa penipuan sindiket Macau Scam yang menyamar sebagai wakil syarikat insurans.

Ketua Polis Perak, Datuk Seri Mohd. Yusri Hassan Basri berkata, wanita berusia 59 tahun itu menerima panggilan telefon pada pukul 9.30 pagi daripada syarikat insurans ketika berada di rumahnya di Hutan Melintang pada 14 Januari lalu.

Katanya, menerusi panggilan tersebut, mangsa telah diberitahu bahawa dia ada membuat tuntutan insurans berjumlah RM68,800 bagi kos rawatan di sebuah hospital swasta di Selangor.

“Mangsa bagaimanapun menafikan dakwaan tersebut dan memaklumkan telah menghentikan pembayaran polisi insuransnya pada Februari tahun lalu.

“Mangsa telah diminta untuk membuat laporan polis bagi menafikan tuntutan dibuatnya di mana panggilan telefon itu kemudian disambungkan kepada pegawai polis untuk tujuan siasatan,” katanya di sini hari ini.

Menurut beliau, dalam perbualan bersama pegawai polis itu, mangsa diarahkan untuk beredar dari rumahnya bagi mengelakkan dia memberitahu perkara itu kepada ahli keluarga.

Katanya, mangsa yang memandu kereta ke Bagan Datuk telah diminta membuat pindahan keseluruhan wang ke dalam akaun Bank Rakyat miliknya bagi tujuan siasatan sumber kewangan.

“Mangsa yang panik dan ketakutan telah memberikan semua maklumat kad mesin juruwang automatik (ATM) Bank Rakyat kepada individu terbabit.

“Mangsa mengumpulkan keseluruhan wang pencen, simpanan dan pinjaman miliknya berjumlah RM585,904.22 ke dalam akaun bank tersebut,” katanya.

Tambah beliau, mangsa hanya menyedari ditipu di mana keseluruhan wang simpanannya telah lesap ketika mahu mengeluarkan wang dari bank.

“Mangsa telah membuat laporan polis kelmarin dan siasatan lanjut sedang dijalankan mengikut Seksyen 420 Kanun Keseksaan kerana menipu,” katanya. – UTUSAN

 

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

Teruskan membaca

Nikmati akses tanpa had serendah RM9.90 sebulan

Sudah melanggan? Log Masuk untuk membaca berita sepenuhnya