3 wanita rugi RM1.7 juta jadi mangsa Macau Scam - Utusan Malaysia

3 wanita rugi RM1.7 juta jadi mangsa Macau Scam

FISOL SALLEH
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

GEORGE TOWN: Seramai tiga wanita berusia antara 41 hingga 49 tahun di negeri ini mengalami kerugian kira-kira RM1.7 juta akibat diperdaya sindiket Macau Scam, baru-baru ini.

Mereka terdiri daripada seorang kerani swasta yang kerugian kira-kira RM1.02 juta serta dua guru masing-masing dari Seberang Perai Utara (SPU) yang kerugian RM439,000 dan dari Seberang Perai Selatan (SPS) yang kerugian RM203,200.

Kesemua mereka diperdaya sindiket Macau Scam dengan mendakwa kononnya mereka terlibat dalam pengubahan wang haram.

Timbalan Ketua Polis negeri, Datuk Fisol Salleh berkata, mangsa pertama iaitu seorang kerani sebuah syarikat swasta membuat laporan polis pada 19 Disember lalu selepas kerugian RM1,026,200 ditipu sindiket tersebut sejak Julai lalu.

Jelas beliau, mangsa yang tinggal di Bukit Mertajam dekat sini menggunakan wang insuran peninggalan mendiang suaminya serta wang simpanan untuk membuat pembayaran kepada sindiket tersebut menerusi pemindahan wang secara berperingkat ke 13 akaun berbeza.

”Mangsa mendakwa dihubungi sindiket itu yang mengaku daripada Pos Malaysia dan memberitahu terdapat bungkusan yang mengandungi kad pengenalan atas namanya sebelum talian disambungkan kepada pegawai polis yang memaklumkan mangsa terlibat dalam pengubahan wang haram,”katanya dalam sidang akhbar di sini hari ini.

Menurut Fisol, mangsa yang panik serta takut ditahan polis mengikut semua arahan suspek dan membuat pemindahan wang sebelum menyedari telah ditipu.

Mengulas lanjut, Fisol berkata, mangsa kedua iaitu guru berusia 41 tahun turut membuat laporan polis pada 19 Disember lalu.

“Guru wanita itu mendakwa dia dihubungi sindiket tersebut sejak November lalu yang memaklumkan kononnya dia telah membuat pinjaman bank sebanyak RM190,000 serta menggunakan wang simpanannya untuk membayar kepada sindiket terbabit,” katanya.

Dalam pada itu, tambah beliau, mangsa terakhir iaitu guru berumur 47 tahun laporan polis pada 23 Disember lalu selepas menjadi mangsa sindiket terbabit yang menghubunginya pada 19 September lalu.

“Mangsa turut membuat pinjaman bank sebanyak RM300,000 untuk membayar kepada sindiket itu dan dia membuat 15 transaksi ke lapan akaun berbeza membabitkan jumlah kerugian RM439,000,” katanya.

Jelas beliau, siasatan lanjut kes itu masih dijalankan termasuk mengesan rangkaian sindiket penipuan terbabit dan tiga kes berkenaan disiasat di bawah Seksyen 420 Kanun Keseksaan.

Sementara itu, katanya, sejak Januari hingga semalam, polis Pulau Pinang merekodkan sebanyak 2,239 kes jenayah siber membabitkan kerugian RM79.5 juta dengan kes Macau Scam antara yang tertinggi direkodkan iaitu 262 kes dengan nilai kerugian sebanyak RM12.91 juta. -UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

Teruskan membaca

Nikmati akses tanpa had serendah RM9.90 sebulan

Sudah melanggan? Log Masuk untuk membaca berita sepenuhnya.