PUTRAJAYA: Malaysia menghampiri kes kematian Covid-19 melebihi 20,000 kes susulan trend pertambahan kes melebihi 200 orang sehari.
Jika dilihat jumlah kematian kelmarin, bilangan kumulatif kes yang dicatat ialah 19,827 dengan pertambahan 341 kes.
Jumlah terbabit dijangka terus bertambah untuk tempoh tertentu berdasarkan bilangan kes di unit rawatan rapi (ICU) dan kematian yang dibawa ke hospital (BID).
Kementerian Kesihatan (KKM) hanya mengumumkan jumlah kematian sebenar malam tadi melalui https://covidnow.moh.gov.my.
Sementara itu, Ketua Pengarah Kesihatan, Tan Sri Dr. Noor Hisham Abdullah berkata, Malaysia mencatatkan jumlah kluster aktif Covid-19 sebanyak 1,446 kes dengan penambahan 28 kluster baharu melibatkan tempat kerja penyumbang terbanyak iaitu 17 kluster.
Katanya, selain tempat kerja, komuniti mencatatkan enam kluster serta tiga kluster kumpulan berisiko tinggi dan dua kluster pendidikan lain.
“Kluster tempat kerja melibatkan lapan di Johor, tiga di Perak, dua di Melaka, dua di Pulau Pinang manakala Selangor dan Kelantan, masing-masing satu kluster.
“Bagi kluster komuniti, lima di Kelantan dan satu di Perak; Kluster kumpulan berisiko tinggi, dua di Perak dan satu di Kelantan manakala kluster pendidikan lain, Kelantan dan Johor, masing-masing satu kluster,” katanya dalam kenyataan semalam. – UTUSAN










