PETALING JAYA: Sebanyak 7.1 juta saman trafik dikeluarkan Polis Diraja Malaysia (PDRM) terhadap pengguna jalan raya melibatkan pelbagai jenis kenderaan sejak 2020 sehingga 31 Ogos lalu di seluruh negara.
Daripada jumlah itu, sebanyak 4.9 juta saman dikeluarkan pada 2020 manakala 2.1 juta lagi direkodkan pada awal tahun ini sehingga 31 Ogos lalu.
Statistik yang direkodkan itu sekali gus menunjukkan kadar penurunan saman dikeluarkan terhadap pengguna jalan raya susulan Pelaksanaan Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) sejak awal tahun ini.
Bercakap kepada Utusan Malaysia, Pengarah Jabatan Siasatan dan Penguatkuasaan Trafik (JSPT), Datuk Azisman Alias berkata, saman trafik paling banyak dikeluarkan sepanjang tempoh itu adalah terhadap pemilik kereta apabila sebanyak 4.4 juta kompaun di seluruh negara.
Menurut beliau, sebanyak 1.47 juta saman trafik lagi dikeluarkan terhadap penunggang motosikal diikuti pacuan empat roda (4WD) iaitu 726,045 saman dan lori (276,101 saman).
“Sepanjang tempoh itu juga, sebanyak 125,761 saman trafik dikeluarkan terhadap pemandu van selain teksi (11,053 saman), bas (10,633 saman)
“Bagaimanapun, jumlah saman dikeluarkan pada awal tahun ini sehingga 31 Ogos lalu menurun berikutan pergerakan kenderaan adalah terhad, ia sedikit sebanyak tiada kesalahan trafik dikesan,” katanya di sini semalam.
Mengulas lebih lanjut, Azisman memberitahu, saman-saman yang dikeluarkan melibatkan pelbagai kesalahan termasuk enam kesalahan utama antaranya melanggar lampu isyarat merah, memandu melebihi had laju ditetapkan, memotong garisan berkembar; menggunakan telefon semasa memandu dan memandu di lorong kecemasan. – UTUSAN ONLINE











