PETALING JAYA: Kabinet baharu Perdana Menteri, Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob memadai bersaiz kecil dengan fungsi lebih efektif.
Kabinet yang dibentuk perlu mengutamakan usaha menangani Covid-19 dan krisis ekonomi.
Bercakap kepada Utusan Malaysia, geostrategis, Dr. Azmi Hassan berkata, pembentukan Kabinet kali ini perlu bersaiz kecil tetapi efektif.
Kata beliau, kekosongan kementerian bersifat kritikal seperti Kementerian Kewangan, Kementerian Kesihatan serta Kementerian Perdagangan Antarabangsa dan Industri perlu diisi secepat mungkin untuk melicinkan pentadbiran.
“Seperti apa yang dititahkan Yang di-Pertuan Agong, kerajaan perlu tumpu perhatian 100 peratus untuk kawal penularan Covid-19. Kementerian kritikal perlu diisi secepat mungkin untuk pastikan segala program yang dirancang berjalan dengan baik.
“Namun, Ismail Sabri berkemungkinan mempunyai tekanan untuk lantikan dalam Kabinet terutama apabila melibatkan saiz yang lebih kecil dan pada masa sama untuk mengelakkan polemik kerajaan di bawah pimpinannya yang akan hanya dilihat memikirkan hala tuju politik masing-masing dan bukannya rakyat,” katanya di sini semalam.
Pensyarah Fakulti Ekologi Manusia Universiti Putra Malaysia (UPM), Prof. Dr Jayum Jawan berpandangan, pada masa ini Ismail Sabri tidak perlu mewujudkan jawatan Timbalan Perdana Menteri bagi mengelakkan perebutan kuasa dan memadai jawatan menteri-menteri penting seperti kewangan, dalam negeri, pertahanan, kementerian luar dan pendidikan.
Katanya, umum mengetahui jumlah Kabinet terlalu besar menjadi alat politik meraih sokongan termasuk melantik timbalan menteri dengan jumlah tidak munasabah sekali gus menjadi faktor ketidakstabilan politik tanah air.
Namun beliau menjelaskan, ia terserah kepada kebijaksanaan Perdana Menteri untuk melantik semula mana-mana bekas menteri sebelum ini menganggotai Kabinet baharu beliau.
“Kekal atau tidak ahli Kabinet sebelum ini bergantung kepada pencalonan pelbagai parti yang ada dalam gabungan Perikatan Nasional (PN). Dalam sistem yang diamalkan sekarang, pilihan siapa nak dilantik ke jawatan menteri dan timbalan menteri terikat kepada sokongan yang kepada beliau,” katanya.
Dalam pada itu, menurut sumber kepada Utusan Malaysia, Ismail Sabri dijangka mengumumkan barisan jemaah menteri yang akan menganggotai Kabinet baharu, esok.
Katanya, Perdana Menteri dijangka mengekalkan sebahagian besar Kabinet sebelum ini dan hanya dua tiga muka baharu dibawa masuk untuk mengukuhkan pentadbiran.
“Nak bawa usul kerajaan sekurang-kurangnya ada tujuh hari. Kabinet kena putuskan juga,” katanya.
Parlimen sebelum ini memutuskan untuk memulakan sidang penuh bagi penggal keempat selama 15 hari bermula 6 September ini hingga 30 September manakala mesyuarat kedua mulai 25 Oktober ini hingga 16 Disember ini selaras dengan Peraturan 11(2), Peraturan-peraturan Majlis Mesyuarat Dewan Rakyat yang memutuskan Takwim Dewan Rakyat.
Sementara itu, Pengerusi Veteran UMNO, Datuk Othman Desa berkata, kerajaan dan pembangkang boleh menjalinkan kerjasama tetapi tidak semestinya dalam Kabinet.
“Tak semestinya pembangkang duduk dalam Kabinet kerajaan, nanti celaru. Kabinet untuk kerajaan bekerja mesti ada teamwork, maknanya kesatuan idea dan sebagainya.
“Lepas merancang, kerajaan hendak mendapatkan pandangan semua pihak termasuk pembangkang atau sebagainya, itu terserah,” katanya. – UTUSAN










