Pulihkan negara - Utusan Malaysia

Pulihkan negara

ISMAIL SABRI YAAKOB
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

PUTRAJAYA: Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob mengajak seluruh rakyat tanpa mengira sempadan agama, bangsa dan kaum termasuk seluruh pemimpin politik bersatu menggembleng tenaga di bawah konsep Keluarga Malaysia untuk memulihkan semula negara.

Dalam ucapan sulung selepas mengangkat sumpah meme-gang jawatan nombor satu kerajaan, Perdana Menteri mengga­riskan tiga perkara utama yang menjadi tumpuan beliau iaitu memerangi Covid-19, mengurangkan kesan ekonomi dan mewujudkan kestabilan politik.

Beliau berkata, usaha turut dilakukan bagi mengembalikan kesejahteraan rakyat seiring me­ningkatkan kuasa beli pengguna dan mengangkat semula sektor swasta sebagai pemacu pertumbuhan ekonomi negara .

Perdana Menteri juga menawarkan ruang kepada kepe­mim­pinan pembangkang untuk menganggotai Majlis Pemulihan Negara (MPN) dan Jawatankuasa Khas Menangani Covid-19.

“Saya menggunakan pendekatan Keluarga Malaysia kerana frasa ini sifatnya lebih inklusif. Konsep Keluarga Malaysia diambil kerana bagi saya keutuhan negara terikat dengan nilai-nilai didikan sempurna dalam sesebuah keluarga. Saya menginsafi kepayahan, kesengsaraan, dan keperitan hidup yang mencengkam kita semua.

“Kestabilan politik perlu segera dicapai menerusi kebersamaan. Ini termasuklah mewujudkan kerjasama rentas parti

“Saya berikrar menghasilkan yang terbaik demi membuktikan kepercayaan rakyat kepada pasukan saya tidak dipersiakan,’’ katanya dalam ucapan yang di­siarkan menerusi stesen televisyen dan media sosial di seluruh negara.

Ismail Sabri seterusnya berjanji kerajaan yang dibentuk akan menyediakan pasukan pentadbiran yang berkhidmat membantu negara untuk keluar daripada kemelut kesihatan, ekonomi di samping mewujudkan kestabilan politik.

Justeru beliau mahu menganggap setiap orang di negara ini adalah seperti keluarganya sendiri, saling melengkapi, um­pama anggota tubuh yang saling memerlukan.

“Ada yang hilang mata penca­rian, ada pula yang putus bekalan makanan dan bukan sedikit yang telah dibuang kerja. Saya memahami keringat dan nilai sesuap nasi, kerana saya lahir dan membesar dalam keluarga anak petani yang susah.

“Saya sangat menghayati kepayahan dan keperitan hidup rakyat pada masa negara sedang menghadapi krisis ekonomi yang berpunca daripada wabak ini,” katanya.

Ismail Sabri berkata, kerajaan pimpinan beliau akan meneruskan strategi yang dirangka kerajaan sebelum ini, malah diperkasakan serta ditambah baik dengan mengambil kira panda­ngan pakar-pakar kesihatan awam negara selain memastikan setiap intervensi untuk menurunkan kes Covid-19 dilakukan lebih komprehensif.

Kata beliau, ia bakal dilaksanakan melalui kerjasama strategik rentas kerajaan dengan pengli­batan pemegang taruh, agensi kerajaan dan pihak swasta bagi memastikan sistem kesihatan negara kembali stabil.

Menurut Perdana Menteri, usaha berterusan kerajaan sebelum ini dengan kadar pencapaian vaksinasi di Malaysia merupakan antara yang terpantas di seluruh dunia dan Malaysia konsisten pemberian vaksinasi yang tinggi melebihi 500,000 sehari.

Katanya, kerajaan juga akan memberi fokus rakyat yang kehilangan pekerjaan dan mata pencarian, rakyat berpendapatan sederhana, perusahaan kecil dan sederhana (PKS), serta sektor perindustrian termasuk industri pelancongan domestik.

“Tiada rakyat Malaysia akan tercicir, justeru strategi baharu ekonomi akan dibangunkan bagi melaksanakan perubahan mendasar bertujuan memperkukuh asas ekonomi negara dan mengembalikan daya saing Malaysia sebagai destinasi pelaburan utama di Asia Tenggara.

“Seiring usaha mencapai objektif tersebut, penglibatan anak muda amat diperlukan. Untuk itu, saya pastikan suara anak muda didengari dan diberikan tumpuan dalam kerajaan ini.

“Kepada anak muda di luar sana, jangan risau, penglibatan anda semua amat dihargai dan saya mengharapkan anda bersama dengan kerajaan ini untuk menjayakan agenda besar pemulihan negara,” katanya. – UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN