PETALING JAYA: Selepas gagal menarik kerjasama parti-parti pembangkang untuk bersama dengan kerajaan Perikatan Nasional (PN), Tan Sri Muhyiddin Yassin disahkan akan mempersembah surat meletak jawatan sebagai Perdana Menteri kepada Yang di-Pertuan Agong hari ini.
Kini terpulang kepada kebijaksanaan Al-Sultan Abdullah Ri’ayatuddin Al-Mustafa Billah Shah untuk membuat keputusan sama ada menerima atau sebaliknya peletakan jawatan Muhyiddin.
Mengesahkan kepada Utusan Malaysia, Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Tugas-Tugas Khas), Datuk Seri Mohd. Redzuan Md. Yusof berkata, Presiden Parti Pribumi Bersatu Malaysia (Bersatu) itu sudah mendapat perkenan untuk menghadap Agong di Istana Negara.

“Ya, sah Perdana Menteri mahu letak jawatan. Surat peletakan jawatan akan dipersembahkan kepada Agong esok (hari ini).
“Tuanku sudah berkenan jumpa Muhyiddin. Masa tidak pasti tetapi difahamkan selepas beliau (Muhyiddin) mempengerusikan mesyuarat Kabinet sebelah pagi,” kata beliau ketika dihubungi semalam.
Setakat pukul 9 malam tadi, beberapa parti termasuk UMNO dipercayai telah mengemukakan satu nama calon Perdana Menteri untuk dipersembahkan kepada Agong.
Pada masa sama, Pakatan Harapan menerusi Setiausaha Agung DAP, Lim Guan Eng semalam memberi lampu hijau kepada pakatan pembangkang untuk mula berunding dengan seteru politik bagi merungkai situasi politik semasa.
Terdahulu, kata Redzuan yang juga Ahli Majlis Pimpinan Tertinggi Bersatu, Muhyiddin menghadiri mesyuarat bersama semua ahli Parlimen Bersatu di Publika, Kuala Lumpur.
Mesyuarat berlangsung selama dua jam bermula pukul 9.15 pagi. Antara yang hadir Timbalan Presiden Bersatu, Datuk Seri Ahmad Faizal Azumu; Timbalan Speaker Dewan Rakyat, Datuk Rashid Hasnon; Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Ekonomi), Datuk Seri Mustapa Mohamed serta Menteri Perumahan dan Kerajaan Tempatan, Datuk Zuraida Kamaruddin.
Mengulas lanjut, Redzuan berkata, Muhyiddin mengekalkan prinsip beliau iaitu meletakkan jawatan selepas tawarannya untuk mengadakan kerjasama dengan parti-parti pembangkang bukan sahaja tidak diterima, malah dikritik teruk.
“Tawaran Muhyiddin amat baik tetapi ia dikritik, jadi usaha terakhir kerajaan PN untuk terus memerangi Covid-19 demi rakyat tidak berjaya.
“Kini semua terserah kepada Agong sama ada untuk mengekalkan kerajaan memerangi Covid-19 atau tidak. Orang lain mahu sangat jawatan (Perdana Menteri), Bersatu tidak ada masalah,” jelasnya.
Katanya, semua ahli Parlimen Bersatu yang hadir pada mesyuarat itu cuba mempertahankan kedudukan Muhyiddin tetapi beliau tetap memilih melepaskan jawatannya.
Bagaimanapun, menurut beliau, sepanjang perjumpaan tersebut Muhyiddin kelihatan tenang.
Selain itu, Redzuan meluahkan kekecewaan dengan sikap beberapa ahli Parlimen yang sebelum itu mahu bersama membentuk kerajaan PN tetapi akhirnya dilihat lebih mementingkan individu yang digelar sebagai ‘kluster mahkamah’.
Kerajaan PN terumbang-ambing setelah kehilangan majoriti di Dewan Rakyat berikutan tindakan 15 Ahli Parlimen UMNO menarik balik sokongan kepada Muhyiddin.
Sebagai jalan terakhir, Jumaat lalu, Muhyiddin menawarkan pelbagai tawaran kepada pembangkang dan UMNO termasuk berjanji akan mengadakan pilihan raya umum selewat-lewatnya Julai tahun depan, peruntukan sama rata kepada semua ahli Parlimen dan melaksanakan beberapa pembaharuan demokrasi.
Ini dengan syarat mereka bersetuju menyokong Muhyiddin dalam usul percaya di Parlimen tidak lama lagi.
Bagaimanapun, tawaran tersebut ditolak malah sesetengah mendakwa ia suatu cubaan merasuah untuk kekal berkuasa dan segelintir lagi menyifatkan ia sudah terlewat.
Untuk rekod, sekiranya peletakan jawatan itu diperkenankan Agong, Muhyiddin akan mencatat sejarah sebagai Perdana Menteri paling singkat di Malaysia iaitu kira-kira 17 bulan.
Rekod Perdana Menteri paling singkat sebelum ini dicatatkan Tun Dr. Mahathir Mohamad yang memimpin kerajaan Pakatan Harapan (PH) selama 22 bulan sebelum meletak jawatan pada 23 Februari 2020. Dr. Mahathir bagaimanapun kekal memegang rekod Perdana Menteri paling lama mentadbir, 22 tahun ketika menyandang jawatan Perdana Menteri keempat.
Sementara itu, penganalisis politik Universiti Kebangsaan Malaysia (UKM), Prof. Dr. Kartini Aboo Talib berkata, jika Muhyiddin meletak jawatan, tiga nama sesuai boleh mengisi jawatan itu iaitu Ahli Parlimen Gua Musang, Tengku Razaleigh Hamzah, Datuk Seri Hishammuddin Tun Hussein dan Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob.
“Agong akan melihat kepada undi yang dikumpulkan dan dalam hal ini saya rasa Ku Li yang lebih berpengalaman sebagai state man,” kata beliau semalam.- UTUSAN










