PASIR MAS: Semua pihak diminta bersabar dan berhenti mengeluarkan kenyataan yang boleh mengeruhkan lagi keadaan politik negara, sebaliknya fokus membantu kerajaan melawan Covid-19 yang semakin serius.
Menteri di Jabatan Perdana Menteri, Datuk Seri Mustapa Mohamed berkata, pihak yang ingin mempersoalkan keabsahan kerajaan Perikatan Nasional (PN) diterajui Perdana Menteri, Tan Sri Muhyiddin Yassin boleh berbuat demikian apabila Dewan Rakyat bersidang pada 6 September ini.
Kata beliau, pada sidang itu nanti, usul undi percaya kepada kerajaan akan dibentangkan dan kesemua ahli Parlimen boleh membuat keputusan sama ada mahu menyokong Perdana Menteri atau sebaliknya.
“Rakyat mengharapkan kerajaan terus memberi tumpuan mengurus dan mencari jalan terbaik melawan jangkitan Covid-19. Kestabilan politik amat penting kerana menjadi penentu kepada masa depan negara untuk tempoh akan datang.
“Jadi sementara itu, kita harap semua pihak redakanlah isu berkenaan dan hentikan sebarang kenyataan yang boleh mengelirukan rakyat,” katanya kepada pemberita selepas melawat projek baik pulih tebing Sungai Kelantan di Kampung Pohon Celagi, di sini semalam.
Muhyiddin sebelum ini menjelaskan, kedudukan beliau sebagai Perdana Menteri akan ditentukan dalam usul percaya dalam Sidang Dewan Rakyat pada September ini. – UTUSAN










