Muka bumi Yan berubah akibat `Tsunami Jerai' - Utusan Malaysia

Muka bumi Yan berubah akibat `Tsunami Jerai’

Penduduk melintasi saliran anak sungai baharu yang terbentuk di Kampung Jawa, Batu Hampar di Yan. - UTUSAN/ SHAHIR NOORDIN
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

YAN: Tragedi kepala air di Gunung Jerai pada 18 Ogos lalu bukan sahaja memusnahkan harta benda dan meragut enam nyawa, tetapi turut mengubah landskap beberapa perkampungan di kaki gunung tersebut.

Antara perubahan ketara ialah terbentuknya lima aliran sungai baharu di kawasan dusun dan kebun getah.

Bahkan, empat buah rumah di Jalan Simpang Tiga, Kampung Jawa di sini pula kelihatan terkepung seperti sebuah pulau akibat pembentukan aliran sungai baharu tersebut.

Bagaimanapun, sebahagian sungai tersebut sudah kering kerana penduduk membina benteng bagi menghalang aliran air di sungai baharu tersebut.

Bercakap kepada Mingguan Malaysia, penduduk di Jalan Simpang Tiga, Marzuki Othman berkata, dia terkejut apabila kawasan rumahnya kini bagai sebuah pulau selepas terkepung dengan kewujudan aliran sungai baharu berdekatan rumahnya.

Katanya, sebelum ini rumahnya terletak kira-kira 50 meter dari sungai asal yang dikenali sebagai Sungai Batu Hampar.

“Selepas tragedi itu, sebuah aliran sungai baharu terbentuk dengan keluasan dua hingga lima meter dengan kedalaman satu hingga 1.5 meter.

“Panjang aliran sungai baharu itu dianggarkan kira-kira 400 meter dari kawasan Chalet Salak Denai ke Chalet Puteri Ayu,” katanya ketika ditemui semalam.

Menurutnya, aliran sungai baharu itu meruntuhkan jalan sepanjang kira-kira tiga meter dan penduduk terpaksa membina titi sementara untuk menggunakan jalan tersebut.

Katanya, seramai 14 penduduk yang tinggal di empat buah rumah kini bagai terkepung dengan pembentukan sungai baharu.

Pemilik Kem Kenari Nature Park, Jaafar Man, 62, di Kampung Aceh di sini berkata, sebuah aliran sungai baharu juga terbentuk di kawasan kem tersebut selepas ‘Tsunami Jerai’.

Menurutnya, aliran sungai baharu itu masih mengalirkan air yang deras dipercayai air daripada punca mata air yang turut wujud selepas bencana sama.
.
Katanya, aliran sungai itu terletak berdekatan dengan rumah penginapan di dalam kem tersebut.

“Aliran sungai baharu itu mempunyai keluasan lima meter dan kedalaman satu meter dengan panjang kira-kira 300 meter,” katanya.

Bagaimanapun, Jaafar berkata, dia bercadang untuk menutup aliran sungai di kem tersebut kerana memasuki dusun penduduk berdekatan yang boleh merosakkan pokok buah-buahan di kawasan itu.

Sementara itu, Pengarah Jabatan Mineral dan Geosains Kedah/Perlis/Pulau Pinang, Abdullah Sulaiman berkata, aliran sungai baharu itu terbentuk berikutan arus deras dengan kelajuan tinggi membawa bersama bongkah batu yang bergerak secara lurus dalam bencana geologi itu.

Pemandangan udara beberapa buah rumah yang menjadi seakan sebuah pulau selepas terbentuknya saliran anak sungai baharu di sekeliling Kampung Jawa, Batu Hampar di Yan akibat bencana aliran puing di Gunung Jerai pada 18 Ogos 2021.- UTUSAN/ SHAHIR NOORDIN

Menurut beliau, aliran sungai baharu melalui laluan selekoh sungai dan tidak mengikut aliran sungai asal.

“Arus deras yang bergerak laju tidak mengikut aliran sungai asal sebaliknya bergerak lurus apabila sampai di selekoh sungai sehingga terhakis seterusnya membentuk aliran sungai baharu,” katanya.

Kata beliau, aliran sungai baharu yang besar boleh bersifat kekal manakala aliran sungai kecil boleh ditutup.

“Kita perlu lihat juga sama ada aliran tersebut menjadi aliran utama atau aliran yang tertinggal.

“Bagi aliran utama, kajian perlu dilakukan sama ada ia memberi kesan di kawasan berkenaan manakala bagi aliran kecil, ia dipercayai tidak memberi masalah sekiranya ditutup,” ujarnya.

Utusan Malaysia pada 20 Ogos lalu melaporkan Kementerian Alam Sekitar Dan Air (KASA) mengesahkan berlaku taburan hujan lebat luar biasa dalam tempoh singkat di sekitar kawasan puncak Gunung Jerai pada hari kejadian 18 Ogos.
.
Pengesahan itu berdasarkan laporan tinjauan cuaca daripada Jabatan Meteorologi Malaysia (Met Malaysia) yang mendapati terdapat hujan lebat luar biasa bermula kira-kira
pukul 2.30 petang pada 18 Ogos.

Ketua Setiausaha KASA, Datuk Seri Zaini Ujang berkata, kejadian hujan ekstrem itu menyebabkan fenomena kepala air di kawasan Gunung Jerai dan banjir lumpur sehingga kedala-man 0.1 hingga 0.3 meter di daerah Kuala Muda dan 0.2 hingga 1.5 meter di daerah Yan.

Sementara itu, Menteri Besar Kedah, Muhammad Sanusi Md. Nor pula memberitahu, tragedi kepala air itu mengakibatkan kerugian berjumlah kira-kira RM75 juta dan meragut enam nyawa

Menurut Sanusi, mengikut maklumat, sebanyak 1,732 rumah kediaman terkesan dengan kejadian yang disifatkan terburuk dalam sejarah.

Selain itu, katanya, turut terkesan sebanyak 124 premis perniagaan dan 14 pengusaha chalet pelancongan desa. – MINGGUAN

 

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN