Henti main politik - Utusan Malaysia

Henti main politik

RAKYAT mahu pemimpin politik memberi tumpuan kepada usaha melawan Covid-19 dan memulihkan semula ekonomi negara. - GAMBAR HIASAN
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

PETALING JAYA: Pemimpin digesa berhenti bermain politik sebaliknya menumpukan usaha menangani isu Covid-19 dan memulihkan ekonomi yang terjejas teruk akibat pandemik yang sudah menjangkau lebih setahun.

Rata-rata mereka mahu para pemimpin memahami denyut nadi rakyat yang ketika ini hidup susah dan mengutamakan kebajikan mereka yang bergelut meneruskan kehidupan.

Tinjauan Utusan Malaysia semalam mendapati, kebanyakan mereka sudah bosan melihat pergolakan politik dan gelagat kalangan pemimpin politik yang tidak berkesudahan.

Menurut mereka, belum pun mencecah usia matang sejak berakhir Pilihan Raya Umum Ke-14 (PRU-14), negara menyaksikan pertukaran tiga perdana menteri dalam tempoh 40 bulan.

Malah, perkara ini pernah disuarakan bekas Perdana Menteri, Tun Dr. Mahathir Mohamad yang berkata, pada masa ini tidak wajar dilaksanakan undi percaya terhadap Ismail Sabri dilakukan secepat mungkin di Parlimen.

Menurutnya, tindakan tersebut akan memberi kesan kepada imej politik negara di mata dunia luar sekiranya keputusan luar jangkaan seperti Perdana Menteri tidak menerima sokongan majoriti ahli Dewan Rakyat diperoleh selepas undi percaya itu.

“Saya tak fikir, kita tak nak tukar lagi sekali Perdana Menteri. Jadi kalau pergi ke Parlimen, dia tak dapat majoriti, kena tukar lain. Jadi dunia sedang ketawa,” katanya.

Sementara itu, peniaga restoran, Rosnah Rahim, 63, berkata, kerajaan perlu lebih memahami kesusahan dihadapi semua rakyat yang terkesan, mendengar rintihan, menjaga kebajikan mereka dan berhenti menuding jari antara satu sama lain.

“Walaupun sektor ekonomi dibenarkan beroperasi secara perlahan, ramai antara kami masih tidak mampu bangkit sepenuhnya. Maka hentikanlah permainan politik, beri ruang untuk ekonomi pulih,” katanya kepada Utusan Malaysia di sini semalam.

Penjawat awam, Maznir Mohd. Amin, 40, berkata, sepatutnya tumpuan diberi kepada Pelan Pemulihan Negara (PPN) dengan memastikan kes jangkitan Covid-19 berkurang serta ekonomi negara diperkasakan.

“Sesiapa pun yang menduduki jawatan tersebut, dialah yang perlu mencorakkan sama ada baik atau buruk kesannya. Kalau perebutan kuasa berlaku, rakyat yang menjadi mangsa,” katanya.

Peniaga makanan, Asiah Abdul Wahab, 60, berkata, rakyat tidak kisah sesiapa yang menganggotai kerajaan dan menjadi menteri, namun, ia harus bersandarkan kepada siapa yang terbaik untuk menyelesaikan masalah dan mendengar denyut nadi rakyat.

“Rakyat mahu kehidupan kembali seperti dahulu kerana ramai tertekan disebabkan Covid-19, ditambah pula perbalahan politik yang merungsingkan. Kita beri peluang kepada perdana menteri baharu untuk membawa,” katanya.

Bagi pesara, Bahari Domen, 60, pelantikan Ismail Sabri sudah cukup untuk menghentikan kemelut politik melihat kepada kemampuan, kepakaran dan pengalaman sepanjang beliau menceburi arena politik lebih empat dekad.

“Pun begitu, saya berharap agar ahli politik lama untuk sedia mengundurkan diri dan beri peluang kepada golongan muda menduduki tampuk pemerintahan pula,” katanya.

Pengusaha kedai kopi, Raahitya Arush, 64, berkata, perebutan kuasa tidak akan membantu dalam menyelesaikan masalah negara dan lebih elok untuk isu rakyat diketengahkan.

Sementara itu, pemilik kedai makan, Daud Sulaiman, 65, berkata, semua ahli politik perlu mengambil maklum tentang keadaan rakyat sebelum sesuatu tindakan yang tidak sepatutnya diambil.

“Sekarang ni sudah ada Perdana Menteri baharu, kalau ingin berbalah berebut kuasa juga, rakyat patut tarik sokongan kepada mereka kerana dilihat tidak cakna,” jelasnya.

Dalam pada itu, penganalisis politik, Datuk Anbumani Balan berkata, semua pemimpin kerajaan dan pembangkang harus membuat aku janji secara bersama, ikhlas, jujur dan dalam memimpin untuk kebaikan negara dan rakyat.

Tambahnya, sekarang adalah masa yang sesuai untuk melakukan gencatan politik kerana negara sudah menyaksikan pertukaran tiga perdana menteri dalam tempoh tidak sampai satu penggal sebelum pembubaran Parlimen.

“Pemimpin seharusnya menunjukkan teladan yang baik dan juga kematangan politik. Kestabilan politik adalah bermula dari tindakan pemimpin politik sendiri. Jika tidak menjaganya, jangan harap rakyat akan mempercayai pemimpin lagi.

“Semua pemimpin juga mesti menjaga keharmonian parti masing-masing. Setiap parti ada masalah sendiri tetapi selesaikan masalah ini secara berhemah. Jangan bawa ke peringkat nasional sehingga berlaku ugut-mengugut yang menyebabkan pentadbiran kerajaan tumbang lagi,” katanya.

Pensyarah Kanan Sains Politik, Universiti Teknologi MARA (UiTM), Dr. Ariff Aizuddin Azlan berkata, jalan terbaik ketika ini adalah kembali kepada saranan Yang di-Pertuan Agong untuk memastikan politik terus stabil dan berpandukan kepada Perlembagaan Persekutuan.

Tambahnya, Perdana Menteri, Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob perlu mempercepatkan proses pembentukan Kabinet dan pelantikan menteri-menteri bagi mengelakkan wujud syak wasangka dan kegelisahan dalam kalangan rakyat negara ini.

Katanya, wujud suara-suara dari blok kerajaan dan pembangkang yang masih menyentuh soal kestabilan seperti jawawatan dan portfolio kementerian tertentu khususnya jawatan Timbalan Perdana Menteri yang masih kosong.

“Semakin lama masa yang diambil untuk menyenaraikan Kabinet ini, hal ini akan memberi peluang kepada pihak tertentu untuk mengambil kesempatan menimbulkan politik yang tidak stabil. Justeru, ia harus diselesaikan dengan segera siapa pemimpin-pemimpin yang bakal menganggotai kerajaan,” katanya. – UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

×