Hari pertama rentas daerah ‘suram’ - Utusan Malaysia

Hari pertama rentas daerah ‘suram’

PEKERJA restoran, Mamat Abdul Wahab (kiri) memeriksa sijil digital MySejahtera pelanggannya sebelum membenarkan memasuki premis di Kuala Terengganu, semalam. – UTUSAN/PUQTRA HAIRRY
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

PETALING JAYA: Hari pertama kelonggaran kepada penerima yang melengkapkan dua dos vaksin Covid-19 di negeri-negeri yang dibenarkan untuk rentas daerah khususnya yang telah berpindah ke Fasa 2 Pelan Pemulihan Negara (PPN) agak suram.

Kebanyakan orang masih berhati-hati untuk membuat perjalanan dalam negeri memandangkan kes Cobvid-19 masih tinggi.

Tinjauan Utusan Malaysia di negeri-negeri terlibat mendapati, aktiviti rentas negeri, khususnya untuk pelancongan masih berkurangan biarpun semalam hari kelepasan am Maal Hijrah, mungkin disebabkan ramai yang turut berhemah untuk berbelanja kerana bimbang dengan tempoh Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) yang masih berkuat kuasa.

Masakan tidak, tempoh PKP yang lama dengan beberapa sektor industri masih belum boleh beroperasi menyebabkan ramai hilang kerja atau dipotong gaji selain belum pulih untuk bangkit dalam masa terdekat.

Suasana itu juga mungkin disebabkan masih belum ramai yang telah melengkapkan dua dos vaksin seperti disyaratkan dalam pengumuman Perdana Menteri, Tan Sri Muhyiddin Yassin baru-baru ini.

Aktiviti dine-in juga masih tidak mendapat sambutan daripada orang ramai khususnya di daerah-daerah yang terkenal dengan kulinari istimewa dan sentiasa mendapat perhatian pelancongan domestik.

Di Pulau Pinang, keadaan di pusat bandar Georgetown juga lengang meskipun ketika cuti umum semalam dengan orang ramai memilih untuk kekal di rumah, barangkali kerana kes harian Covid-19 yang tinggi iaitu menghampiri 1,000 kes sejak beberapa hari lalu.

Menambah kepada situasi lengang itu juga apabila hampir semua kedai makan termasuk restoran nasi kandar popular belum membenarkan pelanggan mereka untuk ‘dine in’ meskipun sudah boleh berbuat demikian.

Dalam pada itu, Ketua Polis Daerah Timur Laut, Asisten Komisioner Soffian Santong berkata, setakat pukul 4 petang semalam, hanya kira-kira 50 kenderaan merentas daerah memasuki bahagian pulau menerusi Jambatan Pulau Pinang dengan pemandunya menunjukkan sijil digital lengkap dua dos vaksin.

Di Perak pula, tiada peningkatan drastik jumlah pengguna jalan raya yang merentas daerah pada hari pertama kerajaan memberi kelonggaran kepada individu vaksin lengkap.

Tinjauan di sekatan jalan raya (SJR) Kampung Dew, Kerian mendapati, tidak berlaku kesesakan di sekatan berkenaan dan secara keseluruhannya SJR berjalan lancar.

Kes Covid-19 yang masih mencatat angka yang tinggi ketika ini mungkin menyebabkan orang ramai agak keberatan untuk keluar rumah dan berada di tempat umum.

Ketua Polis Daerah Kerian, Superintenden Mazuki Mat yang ditanya mengenai hari pertama individu lengkap dos dibenarkan merentas daerah berkata, secara keseluruhan tiada peningkatan ketara jumlah kenderaan di SJR di daerah itu.

“Individu yang mahu merentas daerah hanya perlu menunjukkan sijil digital bahawa mereka sudah lengkap menerima vaksin Covid-19.

“Memang mereka memberikan pelbagai alasan untuk merentas daerah namun kami hanya mengikut prosuder operasi standard (SOP) yang ditetapkan iaitu mereka yang sudah lengkap dos vaksin boleh merentas daerah,” katanya.

Selain itu di Pahang, kebenaran ‘dine in’ di restoran dilaksanakan dengan pematuhan SOP yang ketat dalam mengekang penularan Covid-19.

Tinjauan di sekitar daerah Jerantut bagaimanapun mendapati meskipun restoran dibuka untuk ‘dine in’ namun masih tidak ramai pelanggan yang datang.

Seorang pemilik restoran, Mariani Ismail,53, berkata, kedainya di Felda Kota Gelanggi 2 dibuka awal pagi namun tidak ada pelanggan yang datang untuk makan di kedai.

Di Terengganu, aktiviti dine-in di kedai-kedai makan kurang mendapat sambutan susulan kebanyakan premis yang belum menawarkan perkhidmatan itu kerana bimbang dengan risiko Covid-19.

Tinjauan Utusan Malaysia di 10 kedai makan mendapati rata-ratanya kekal dengan jualan bungkus seperti sebelumnya walaupun dibenarkan berbuat demikian bermula semalam.

Pengusaha Kedai Nasi Kukus Alias Sempoi, Md. Adam Fikri Dahari, 30, berkata, langkah itu diambil bagi mengelak penularan virus memandangkan sebahagian daripada 20 pekerjanya belum divaksin.

Sementara itu di Sabah, aktiviti rentas daerah juga suram berikutan semua pihak masih menunggu SOP yang baharu daripada Majlis Keselamatan Negeri (MKN) Sabah.

Malah, SJR di sempadan daerah juga masih dilaksanakan.

Sehingga semalam, kerajaan negeri belum mengeluarkan SOP baharu mengenai kelonggaran bagi merentas daerah mahupun kebenaran aktiviti pelancongan.

Bagi solat berjemaah di masjid, Pejabat Mufti Negeri Sabah bersama Jabatan Hal Ehwal Agama Islam Negeri Sabah (Jheains) sudah mengemukakan permohonan kepada Jawatankuasa Pengurusan Bencana Covid-19 Sabah untuk memberi kelonggaran individu yang lengkap dua dos vaksin berjemaah di masjid atau surau.

Begitu juga di Kelantan, suasana di pusat bandar dan pekan-pekan agak lengang.

Tiada peningkatan jumlah kenderaan yang ketara kelihatan, khususnya ketika cuti umum.

Orang ramai yang ditemui mengatakan mereka mengambil pendekatan ‘tunggu dan lihat’ kerana masih was-was terhadap risiko penularan Covid-19 di luar rumah. – UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

×